‘Kekalkan dasar hanya warga Nepal jadi pengawal keselamatan’

security-guardPETALING JAYA: Sebuah firma kawalan keselamatan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan membenarkan pengambilan warga asing selain rakyat Nepal sebagai pengawal keselamatan.

Ini susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang syarikat kawalan keselamatan kini dibenarkan mengambil pekerja dari 2 negara, selain Nepal, berbalik kepada dasar yang dikuatkuasakan sejak 2006.

Zahid yang juga menteri dalam negeri bagaimanapun tidak menamakan 2 negara itu, tetapi katanya, perubahan dasar itu disebabkan kekurangan pengawal keselamatan Nepal dengan latar belakang tentera.

Ketua Pegawai Eksekutif RZ Security Sdn Bhd, Ishpreet Singh berkata, keputusan membenarkan firma kawalan keselamatan mengambil warga asing selain rakyat Nepal tidak dapat menyelesaikan masalah itu, sebaliknya akan menyebabkan keadaan lebih “rumit”.

Katanya, masalahnya bukan disebabkan kekurangan pekerja Nepal, sebaliknya mereka melompat ke sektor lain selepas penetapan gaji minimum pada paras RM1,000 secara menyeluruh.

“Daripada bekerja sebagai pengawal keselamatan dan membahayakan diri, mereka rasa lebih baik mendapatkan kerja dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

“Jika mereka bekerja di restoran, mereka akan diberikan makanan dan penginapan percuma.”

Beliau mendakwa penduduk tempatan lebih senang mendapat pekerjaan, jika warga Nepal hanya dibenarkan bekerja untuk syarikat kawalan keselamatan.

“Saya CEO untuk sebuah firma keselamatan dan jika saya mahu mengambil warga Nepal, saya mahu seorang yang tinggi, kacak dan berpendidikan. Ejen tiada pilihan lain dan perlu memberi pekerja lelaki yang berkualiti dan firma keselamatan hanya perlu mengupah 50 hingga 100 warga Nepal setahun.

“Buat masa ini, kami hanya ada pekerja Nepal berkualiti rendah kerana pekerja berkualiti sudah pergi ke sektor lain.

“Kami melatih pekerja Nepal berkualiti rendah ini dan apabila mereka menjadi baik, mereka lari juga. Akhirnya, kami perlu mengambil lebih ramai pekerja.

“Jika kerajaan menetapkan peraturan ketat mulai sekarang, ejen Nepal tiada pilihan kecuali memenuhi keperluan kami.”