P Pinang jamin wang zakat selamat susulan tangkapan SPRM

Malik-Abul-Kassim-sprmGEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memberi jaminan wang pembayar zakat dalam keadaan selamat, susulan tangkapan 4 kakitangan Zakat Pulau Pinang dalam siasatan ke atas kegiatan rasuah untuk projek semalam.

Exco Hal Ehwal Islam Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata aset dan wang kutipan zakat “tidak disentuh” dalam kes itu dan “tiada penyelewengan” berlaku.

Beliau berkata juruaudit bebas sudah meneliti akaun zakat 2015 dan tidak mendapati sebarang kecurigaan.

“Jika siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan rasuah berlaku di pengurusan tertinggi, kita akan menghantar sekumpulan juruaudit forensik dengan segera.

“Empat kakitangan itu digantikan dari tugas mereka mengikut tatacara standard kerajaan,” kata Malik pada sidang media di Komtar hari ini.

Zakat Pulau Pinang berada di bawah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), sebuah badan berkanun kerajaan negeri.

Semalam, SPRM menahan 11 orang, termasuk “pegawai kanan” Zakat Pulau Pinang di pejabatnya di Bukit Mertajam.

Pegawai kanan itu, dilantik pada 1995, juga didakwa memberikan projek pembangunan masyarakat kepada sekumpulan kontraktor berulang kali untuk sogokan.

SPRM temui wang tunai, cek dan barang berharga lain di pejabat pegawai itu.

Pegawai zakat itu juga didakwa meluluskan pinjaman pembelajaran tahunan untuk anaknya. Pegawai berkata kegiatan itu berlaku sejak 2013.

Sementara itu, Presiden MAINPP Datuk Mohd Salleh Man berkata mereka akan bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan amalan rasuah dalam kalangan pegawai zakat.

“MAINPP selau institusi agama akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang dibuktikan terlibat dalam rasuah dan kami tidak akan teragak-agak memecat mereka,” katanya. Salleh juga adalah pengerusi lembaga pengarah Zakat Pulau Pinang.