Peguam Sophian dakwa gaun peserta lebih pendek berbanding gambar tular

sophian-chess

KUALA LUMPUR: Pihak Pengarah Kejohanan Catur Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan 2017, Sophian A Yusuf yang dilanda kontroversi hari ini mendakwa panjang gaun yang dipakai peserta berusia 12 tahun seperti yang tular di Facebook baru-baru ini berbeza dengan gambar yang diambil ketika kejohanan.

Peguamnya Mohd Harris Al-Hajj Abdullah berkata panjang gaun dalam gambar lebih panjang dan menutup lutut, berbeza dengan gambar yang diambil ketika pertandingan yang menunjukkan ia lebih pendek dan tidak melepasi paras lutut.

“Gambar yang saya lihat di internet lebih labuh, saya tidak tahu siapa yang mengambilnya…Nampaknya ‘bukti’ yang disebar di internet diubah…kami tidak tahu apa niat mereka,” katanya dalam sidang media di Hotel Olympic Sport hari ini.

Beliau berkata, gambar peserta tersebut di pertandingan diambil oleh jurugambar rasmi dan ada dalam simpanan pihaknya.

Namun ketika diminta wartawan agar menunjukkan gambar tersebut, beliau berkata “belum tiba masanya” kerana ia akan dijadikan bahan bukti ketika perbicaraan.

Sophian hari ini mengadakan sidang media bersama peguamnya bagi menyatakan akan memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang memburukkannya sepanjang kontroversi itu tercetus akhir bulan lalu.

Isu tercetus apabila jurulatih peserta itu, Kaushal Khandar memuat naik gambar peserta itu memakai gaun itu dan mendakwa ia punca peserta itu menarik diri. Ia kemudiannya menjadi tular di media sosial.

Tidak lama kemudian, gambar Sophian pula tersebar dan didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab atas kejadian itu. Beliau dihentam ramai netizen, termasuk dituduh sebagai pedofilia.

Pada 3 Mei lalu, Sophian buat kali pertama tampil dalam sidang media dan menafikan beliau berada di tempat pertandingan ketika isu itu berlaku.

Keesokannya, Persekutuan Catur Malaysia berkata peserta itu tidak pernah dipaksa untuk menarik diri namun berkata jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Pada sidang media hari ini, Sophian berkata, peguam akan menghantar surat tuntutan kepada beberapa pihak yang dikenal pasti, antaranya jurulatih catur Kaushal Khandar dan beberapa ahli politik yang menggunakan isu tersebut demi kepentingan politik mereka.

“Walaupun selepas penafian saya, perkara ini masih berlarutan dan malah semakin teruk. Tindakan undang-undang perlu diambil bagi membersihkan tuduhan yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

“Anak guam saya bukan sahaja diaibkan malah ditohmah di Malaysia malah seluruh dunia. Perkara ini perlu dihentikan segera,” kata Mohd Harris.

Mohd Harris berkata surat tuntutan bagi menuntut permohonan maaf dan ganti rugi akan dihantar seawal minggu depan.

“Kami juga sedang meneliti mana lagi pihak yang mengambil peluang menohmah pelanggan kami berhubung isu ini. Maka boleh jadi lebih banyak pihak yang akan menerima surat tuntutan,” katanya.

Selain tindakan undang-undang ini, Sophian juga membuat laporan polis atas asas perkara tersebut diputarbelit pengguna Facebook.