‘Peniaga perlu menginsankan beli-belah untuk kekal relevan’

Chan-Hoi-ChoyPETALING JAYA: Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) menggesa premis runcit konvensional meningkatkan daya saing sendiri dengan memanfaatkan kekuatan dari segi barangan yang tidak terdapat di platform dalam talian.

Penasihat PPK, Chan Hoi Choy memberi contoh pusat beli-belah boleh menumpukan aspek pemasyarakatan, satu daripada pemacu utama dalam pertumbuhan industri makanan dan minuman.

Beliau merujuk premis yang boleh memberi pengalaman kepada orang ramai seperti kedai kopi “artisanal” dan kedai makan hipster yang membolehkan interaksi tahap tinggi di kalangan pelanggan.

Katanya, aspek keterlibatan juga merupakan faktor penting yang boleh digunakan untuk memberi pengalaman baik kepada pelanggan.

Disebabkan pusat beli-belah sudah berkembang daripada sekadar fungsian kepada pengalaman disebabkan perubahan gaya hidup pengguna, beliau berkata, peniaga sepatutnya memanfaatkan deria penglihatan, bau dan sentuhan untuk menarik pelanggan dan menginsankan pengalaman membeli-belah.

Baru-baru ini, pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping dilaporkan berkata, hab logistik Alibaba yang akan beroperasi menjelang 2019 akan menggalakkan pertumbuhan kegiatan membeli-belah dalam talian dengan mengorbankan pusat beli-belah di Malaysia.

Chan berkata, tidak dapat dinafikan kegiatan membeli-belah dalam talian semakin popular di negara ini. Bagaimanapun, beliau mahu melihat gabungan membeli-belah konvensional dan dalam talian untuk memberi pengalaman lebih lengkap kepada pelanggan.

“Terdapat pusat beli-belah dan kedai, sebagai contoh, menambah pengalaman pelanggan melalui penggunaan teknologi seperti realiti diperkukuhkan dan maya.”

Menurut data Bain Brief 2016 dan Barometer Pengguna Google, 14 juta orang – hampir separuh daripada penduduk Malaysia – mencari produk dan perkhidmatan dalam talian.

Namun, cabaran utama dihadapi perniagaan e-dagang ialah kurangnya kepercayaan terhadap platform. Hanya 29% pengguna membeli produk yang dicari dalam talian.

Bagaimanapun, Pengurus Kanan Pemasaran Christian Dior Malaysia, Angela Ong berkata, pelanggan biasanya tiada masalah membeli produk dalam talian, jika mereka sudah biasa dengan jenama itu.

“Kini, ada ramai pengguna muda yang lebih suka membeli-belah dalam talian,” katanya yang mengaitkan keadaan itu dengan faktor mereka tiada masa untuk membeli-belah secara konvensional.

Dalam perkembangan lain, Ong menolak tanggapan penyewa di pusat beli-belah akan berpindah ke tempat lain disebabkan kadar sewa kompetitif.

“Semuanya bergantung kepada hala tuju jenama itu dan sama ada mereka perlu menempatkan diri di pusat beli-belah mewah untuk meningkatkan jenama mereka dalam industri,” katanya.

Margaret Chin yang mengetuai syarikat kosmetik Korea Selatan, AmorePacific di Malaysia berkata, penyewa akan memilih lokasi yang mempunyai ramai pengunjung berbanding kadar sewa.

“Jika pusat beli-belah itu dikunjungi ramai serta mempunyai banyak jualan, dan saya perlu membayar premium lebih sedikit, saya masih akan membayarnya.

“Saya tidak akan keluar daripada pusat beli-belah itu dan memilih kadar sewa lebih murah atau percuma, tetapi tidak ramai pengunjung.”

Beliau berkata, masalah dengan jualan dalam talian ialah tawaran harga murah kerana peniaga mempunyai sumber sendiri dari negara seperti China, Taiwan dan Jepun, di mana perang harga akan berlaku.

“Tetapi, saluran membeli-belah dalam talian dan luar talian mempunyai pelanggan setia dan kelebihan masing-masing. Jadi, perang harga adalah minimum.”