Perwakilan mahu Hindraf jadi parti politik

hindraf-politikKUALA LUMPUR: Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang lantang memperjuangkan hak asasi mesyarakat India beragama Hindu berkata sudah tiba masanya mereka berubah menjadi sebuah parti politik.

Perwakilan di mesyuarat agung tergempar (EGM) Hindraf 7 Mei lepas sebulat suara meluluskan usul mengubah status gerakan itu, kerana merasakan masyarat India perlukan wakil politik yang kuat.

Mereka juga sebulat suara bersetuju Hindraf perlu memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung Hindraf Muniandy Ponnusamy dalam kenyataan hari ini berkata perubahan tersebut menyusuli siri wacana dan mesyuarat dengan akar umbi masyarakat India seluruh negara.

Beliau berkata ada suara yang kuat menyeru Hindraf berubah menjadi sebuah parti politik “supaya wakil masyarakat India yang berkesan dan wajar kedengaran dalam bidang politik”.

Perwakilan merasakan walaupun beberapa “perubahan kosmetik” bersifat sementara dan ad-hoc berlaku lantaran tekanan daripada Hindraf, penyelesaian kekal kepada nasib masyarakat India diperlukan, terutamanya di peringkat dasar dan makro.

“Mereka merasakan walaupun terdapat wakil masyarakat India, ia cuma bersifat luaran di Parlimen dan pentadbiran kerajaan.”

Beliau berkata rangka kerja perlembagaan Hindraf sedia ada memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk diluluskan sebagai sebuah parti politik.

Muniandy berkata EGM juga sebulat suara meluluskan resolusi menyeru menteri dalam negeri meluluskan permohonan menukar status Hindraf.

Beliau berkata mereka memperjuangkan nasib masyarakat India di Malaysia sejak 2005.

Beliau mendakwa Hindraf menjadi pemangkin yang memecahkan majoriti 2/3 Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-12.

Di samping itu, Hindraf menghasilkan kesedaran di dalam dan luar negara mengenai “nasib sosio-ekonomi masyarakat India yang terabai dalam pelbagai aspek daripada pekerja estet tidak bertempat, tidak bernegara, pendidikan, perniagaan dan peluang pekerjaan”.

Beliau berkata Hindraf memainkan peranan berkesan mendesak kerajaan melihat hal ehwal minoriti India yang “dipinggirkan dan diabaikan selama lebih 60 tahun” kerana ketidakberkesanan ahli politik India sedia ada.