Rasuah: 2 termasuk pengurus projek TNB direman 5 hari

macc-arrest-jail

PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan reman 5 hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB di sekitar Kuala Lumpur.

Tempoh reman berkuat kuasa hari ini hingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas mahkamah mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua suspek lelaki dan wanita masing-masing berumur 55 dan 51 tahun itu ditahan pasukan penguat kuasa SPRM di sebuah lokasi di Lembah Klang pada awal pagi ini.

Katanya, selaku pengurus projek, lelaki tersebut bertindak mengagihkan tender projek kepada kontraktor lain, sedangkan ia sepatutnya diagihkan kepada syarikat panel di bawah TNB.

Sebagai habuan di atas pemberian tender berkenaan, lelaki itu dikatakan menerima sebuah kereta BMW 5 Series daripada suspek, iaitu seorang wanita yang juga pemilik syarikat pengubahsuaian terbabit.

Kerja pengubahsuaian tersebut dipercayai berlaku pada 2014 di beberapa pejabat TNB di Kuala Lumpur, kata jurucakap tersebut.