Tinjauan: Rakyat mahu Muhyiddin jadi PM

Rais-Hussin-muhyidinPETALING JAYA: Satu tinjauan oleh sekumpulan individu yang kini menyertai PPBM menunjukkan rakyat Malaysia mahu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Datuk Dr Rais Hussin berkata, ia disusuli pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad serta presiden PAS.

Tinjauan yang dilakukan sebelum PPBM ditubuhkan secara rasmi pada September 2016 itu diketuai 7 profesor universiti awam yang identiti mereka tidak didedahkan.

Ia membabitkan 45 pembanci yang menemui 3,000 responden di 30 kawasan Parlimen BN dan pembangkang, termasuk di Sabah dan Sarawak. Responden ditanya mengenai pendirian mereka terhadap 1 senarai parti politik.

Daripada jumlah itu, 67.6% berbangsa Melayu, 23% orang Cina, 5.6% responden India, 3.5% Bumiputera Sabah dan Sarawak serta 0.2% kaum lain. Sekurang-kurangnya 23.1% daripada mereka berasal dari kawasan bandar, 49.8% dari bandar kecil, 19.8% di kawasan luar bandar dan 7.2% di penempatan Felda.

Rais berkata, hasil tinjauan itu menunjukkan Muhyiddin mendahului dengan 37.3% undi setuju, 25.1% membantah dan bakinya tidak pasti.

Dr Mahathir yang mendapat 35.9% undi berada di tempat ke-2, manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang di tempat ke-3 dengan 34.3% undi.

Ia disusuli bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz; bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, lebih ramai responden yang membantah berbanding menyokong Anwar dan Hishammuddin sebagai perdana menteri.

Bagi Datuk Seri Najib Razak pula, seramai 52% responden membantah beliau menjadi perdana menteri, 27.9% tidak pasti dan hanya 20% menyokong pengerusi BN itu memegang jawatan nombor 1 negara.

“Tiada seorang pun pemimpin BN berada dalam senarai 5 calon teratas untuk PM dan ia jelas menunjukkan Najib berada jauh di belakang pemimpin lain, di tempat ke-9,” katanya ketika mengumumkan hasil tinjauan itu, hari ini.

Katanya, majoriti responden “tidak pasti” mengenai isu politik, pemimpin dan pucuk pimpinan.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, Muhyiddin mungkin menjadi PM jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya, tetapi PKR bertegas yang Anwar – sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun atas kesalahan liwat – ialah calon PM mereka.

Semalam, Pakatan Harapan enggan menjawab siapa calon PM pilihan mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, siapa pun calon mereka, pasti lebih baik daripada perdana menteri sedia ada.

Tetapi, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim membidas pakatan pembangkang kerana tidak mahu menamakan siapa yang bakal mengetuai kerajaan baharu mereka.

Beliau yang dilaporkan semalam mahu Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai calon PM kerana pemimpin veteran itu mampu meraih sokongan kuat, termasuk daripada pengundi Felda dan seterusnya memastikan kemenangan PH.

Timbalan presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata, tiada keutamaan untuk mengumumkan calon PM pakatan pembangkang sehingga mereka memenangi PRU14.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/09/kalau-nak-menang-lantik-dr-mahathir-jadi-pm-kata-zaid/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/09/azmin-menang-pru14-dulu-baru-bincang-siapa-pm/