Wanita direman 4 hari akibat reka cerita diculik

kidnap-gavel1BATU GAJAH: Mahkamah Majistret di sini membenarkan seorang wanita direman 4 hari bermula hari ini kerana membuat laporan palsu mendakwa dia diculik pada 3 Mei lalu.

Majistret Mohd Fitri Sadarudin membenarkan wanita berumur 40-an itu direman sehingga 13 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 182 kerana membuat keterangan palsu.

Baru-baru ini, akhbar tempatan melaporkan viral di laman sosial berhubung seorang wanita mereka cerita kononnya dia diculik ketika menghantar barangan kepada pelanggan di Taiping, pada 3 Mei lalu.

Suspek ditahan ketika bekerja di sebuah taska di Shah Alam kira-kira 10 pagi semalam.

Prosiding reman terhadap suspek yang merupakan isteri kepada seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak itu dijalankan di IPD Batu Gajah, hari ini.

Terdahulu, wanita itu yang berpakaian baju lokap ungu tiba kira-kira 9.30 pagi dengan diiringi 2 anggota polis wanita sebelum keluar 5 minit kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata, wanita itu dipercayai sengaja mereka cerita mengatakan dia diculik.

“Beliau telah menghantar gambar kepada suaminya mengatakan diikat dan dilarikan orang. Beliau juga menghantar pesanan suara seolah-olah meminta tolong.

“Kita berjaya menemui mangsa dan mendapati beliau berbuat demikian kerana hendak lari daripada ramai orang yang mencarinya disebabkan masalah hutang dan sanggup menipu suaminya mengatakan dilarikan orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Polis, kata Zainal, sedang mencari seorang lelaki bernama “Wan” yang merupakan kenalan wanita terbabit berkaitan kes penculikan palsu itu.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan siasatan awal mendapati suami suspek tidak terlibat dalam rancangan penculikan tersebut.