Exco PAS kekal dalam kerajaan Selangor

Sallehen-Mukhyi

PETALING JAYA: Beberapa jam selepas PAS mengumumkan “tahaluf siyasi” dengan PKR terbatal, parti itu di Selangor berikrar untuk kekal sebagai komponen dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR sehingga tamat penggal ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dalam kenyataan ringkas berkata keputusan itu bagi menghormati mandat yang rakyat berikan pada pilihan raya umum lalu.

“PAS Selangor tidak lagi akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik dengan PKR dan sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera,” kata Sallehen, merujuk kepada gabungan baru bersama Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Awal hari ini, Majlis Syura Ulama membuat ketetapan “tahaluf siyasi” dengan PKR terbatal, menerima usul yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan di muktamar mereka di Kedah baru-baru ini, sekaligus mengakhiri kerjasama 2 dekad dengan parti reformasi itu.

Majlis Syura Ulama hari ini juga mengulangi tuduhan perwakilan Ulama dan Pemuda, mengatakan PKR melanggar syarat perjanjian politik dengan PAS.

Keputusan PAS Selangor untuk kekal dalam kerajaan negeri, mengulangi sentimen Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi yang bulan lepas mengatakan exco PAS tidak perlu berundur walaupun parti memutuskan kerjasama dengan PKR.

PAS mempunyai 3 exco di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan. Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor juga daripada PAS.

Selepas perpecahan dan letak jawatan atau pemecatan, kedudukan sekarang menyaksikan PKR mempunyai 12 kerusi, DAP 14 kerusi, PAS 13 kerusi, BN 12 kerusi, Amanah 2 kerusi dan Bebas 2 kerusi.