Harga barang di Sabah, Sarawak belum tentu turun, kata menteri

kabotaj-sabah-sarawak-harga-barangKUALA LUMPUR: Kerajaan tidak dapat menjanjikan harga barang di Sabah dan Sarawak boleh turun kesemuanya selepas pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Jun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini disebabkan masih ada kos dikenakan sekiranya barangan itu diimport dari Pelabuhan Klang.

“Ada yang akan turun tapi tidak semua,” kata Hamzah.

Dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan dalam perkhidmatan kargo dari pelabuhan di Semenanjung ke Malaysia timur dilihat menjadi punca harga barang lebih mahal di Sabah dan Sarawak.

Pada 7 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengecualian dasar kabotaj itu berkuat kuasa 1 Jun depan,

Hamzah berkata walaupun tanpa kabotaj, masih ada faktor lain yang boleh mempengaruhi harga barang di negeri berkenaan.

“Kalau pengusaha dan peniaga di Sabah, Sarawak serta Labuan mengimport secara terus barangan dari luar negara, tapi tidak ada barang untuk kapal itu bawa balik, ia akan menyebabkan masalah besar kerana syarikat kapal itu akan dikenakan caj berganda.

“Jika ada barang untuk kapal bawa balik, barulah kosnya berkurang. Saya tak mahu orang tuduh KPDNKK tidak kawal harga barang apabila harganya tetap sama selepas pengecualian dasar kabotaj,” katanya.