KPDNKK diarah ambil sampel ‘fidget spinner’

hamzah-fidget

KUALA LUMPUR: Selepas kebimbangan pelbagai pihak terhadap gajet “fidget spinner”, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diarah mengambil sampel gajet berkenaan di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sampel berkenaan akan dihantar kepada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk pemeriksaan.

“Untuk jangka masa pendek, KPDNKK akan ambil gajet yang dikatakan bahaya ini dan dihantar kepada Sirim.

“Kita akan pastikan gajet ini tidak memudaratkan pengguna di negara ini,” katanya pada sidang merasmikan Program Kesedaran Akta Syarikat 2016 hari ini.

“Fidget spinner” pada asalnya dicipta dan dipasarkan untuk penghidap Sindrom Kurang Daya Tumpuan serta Hiperaktif (ADHD) di mana penghidapnya mempunyai tabiat tidak berhenti memutar pensil, menggigit kuku, menyusun objek dan mengeluarkan bunyi pelik.

Namun, pengaruh “fidget spinner” makin membimbangkan apabila penjualannya bukan hanya membantu merawat penghidap sindrom ADHD, sebaliknya mengundang masalah lain.

Antara NGO yang bimbang dengan pengaruh gajet ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang mahu penjualannya dipantau kerana bimbang ia boleh memudaratkan pemainnya terutama pelajar sekolah.

Selain itu, gajet ini juga boleh mendatangkan kecederaan, malah dieksploitasi menjadi senjata berbahaya dan digunakan untuk tujuan jenayah.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pihaknya akan mengkaji secepat mungkin dari segi material dan spesifikasi gajet berkenaan.

Hamzah berkata pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk melihat dari segi standard barang permainan yang boleh dibawa masuk ke negara ini dan dikeluarkan oleh pengusaha dalam negara.

“Kita akan buat 1 peraturan. Pada masa depan, sesiapa yang ingin bawa masuk contohnya, dron, mereka kena hantar sampel kepada kita terlebih dahulu. Kita akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Sirim dan Jabatan Standard.

“Pihak ini juga akan hantar kepada KPDNKK. Kalau makanan, kita hantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, kita akan jadi koordinator.

Beliau menambah, alat permainan akan dihantar ke Jabatan Standard dan barang pembinaan dihantar ke Jabatan Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia.

“Semua barangan akan dipastikan selamat oleh KPDNKK, barulah sampel itu diserahkan balik (kepada pengusaha). Kemudian, barulah kita keluarkan arahan ‘anda boleh membawa barang ini dengan standard seperti ini’,” katanya.