Malaysia tetap hantar pulang 3 tahanan ke Turki

sidang-media-zahid-hamidiPUTRAJAYA: Tiga warga Turki yang ditahan atas tuduhan terlibat aktiviti keganasan tetap akan dihantar pulang ke negara asal, walaupun selepas rayuan keluarga mereka yang bimbang ancaman terhadap mereka oleh pentadbiran Recep Tayyip Erdogan yang kini aktif bertindak ke atas pengkritiknya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang rayuan kerana ia bukan tanggungjawab Putrajaya.

“Itu bukanlah tanggungjawab kita. Kita harus hantar dia (warga Turki) ke negara asal.

“Kenapa kita harus berikan bebanan kepada negara lain?” katanya kepada wartawan hari ini.

Warga Turki, Turgay Karaman, Ismet Ozcelik dan Ihsan Aslan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Sebelum ini, susulan pertemuan di Bukit Aman, isteri Turgay, Ayse Gul berkata suaminya bimbang sekiranya dihantar pulang ke Turki.

“Asalkan bukan Turki, kerana mereka akan menyeksanya,” dakwa Ayse.

Ayse merujuk kepada pembanterasan penyokong Gerakan Gulen yang diketuai Fetullah Gulen.

Gulen dituduh Erdogan mendalangi percubaan rampasan kuasa tahun lalu yang digagalkan, dakwaan yang dinafikan pemimpin dalam buangan itu.

Zahid berkata, isteri dan anak warga Turki itu tidak seharusnya khuatir kerana kerajaan akan mengadakan rundingan dengan pihak kedutaan mengenai nasib mereka.

“Jika isteri dan anak tidak bersalah, mereka tidak perlu dihukum tetapi molek jika dapat hantar mereka ke negara asal. Isteri dan anak mereka jangan khuatir.

“Kita akan terus adakan rundingan dengan pejabat kedutaan Turki bagi mereka turut dihantar pulang ke negara asal. Kita juga ada prasangka kemanusiaan,” katanya.

Zahid berkata Malaysia akan membenarkan isteri dan anak terus menetap di sini sekiranya memenuhi syarat visa.

“Jika mereka layak untuk memiliki pas penduduk atau boleh mendapatkan visa masuk, kita akan benarkan (untuk berada dalam negara),” katanya.

Turgay pada awalnya disyaki diculik, selepas rakaman litar tertutup menunjukkan 5 lelaki berpakaian biasa menculik beliau di parkir Wisma E&C di Damansara Heights pada 2 Mei.

Aslan dilaporkan “diculik” pada hari yang sama, selepas isterinya gagal menghubungi beliau malam itu.

Keesokannya, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Aslan dan Turgay sebenarnya ditahan berhubung aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Zahid sebelum ini berkata tangkapan dilakukan selepas polis peroleh maklumat daripada Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (CMC).

‘Hantar suami saya ke negara lain, asalkan bukan Turki’