Peguam minta henti kaitkan Ihsan dengan 2 tahanan Turki lain

Noor-Svetlana-Mohd-Noor-Nordin

KUALA LUMPUR: Pihak keluarga Ihsan Aslan, lelaki Turki yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), berharap semua pihak berhenti mengaitkan beliau dengan 2 tahanan warga Turki lain.

Bercakap bagi pihak mereka, peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin berkata, situasi Ihsan berbeza dengan Turgay Karaman, Ismet Ozcelik.

“Isteri dan anak Ihsan adalah warga Malaysia. Latar belakang mereka juga berbeza.

“Ketika berjumpa sendiri dengan Ihsan tadi, dia (beritahu) tidak kenal langsung salah seorang suspek, manakala seorang lagi kenalan jauh. Jadi tidak betul untuk kaitkan mereka bersama sebagai satu kumpulan,” katanya ketika ditemui FMT di luar Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, selepas pertemuan berlangsung.

Ihsan sudah 15 tahun tinggal di Malaysia dan seorang ahli perniagaan, manakala Turgay pengetua Time International School di Ipoh, Perak dan Ismet pengarah Universiti Mevlana di Turki.

Ismet ditahan pada 13 Disember lalu ketika berkunjung di Malaysia, manakala Ihsan dan Turgay pada 2 Mei lalu. Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan “mengancam keselamatan negara”.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ketiga-tiganya tetap akan dihantar ke Turki, walaupun selepas rayuan keluarga yang bimbang mereka akan diseksa pentadbiran Recep Tayyip Erdogan.

Svetlana berkata pihak polis memberikan kerjasama yang baik sepanjang pertemuan lebih sejam itu, dan menjamin pihak keluarga juga akan memberikan kerjasama serupa.

“Tentukah kami tidak berharap Ihsan ditahan sehingga 28 hari (tempoh tahanan Sosma), tetapi jika ia dirasakan wajar, kami menyokongnya,” katanya.

Isteri Ihsan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar pula bersyukur kerana dapat bertemu sekali lagi dengan suaminya sejak penahanan.

“Dan ketika ditanya sama ada dapat berjumpa lagi (dalam tempoh penahanan) polis berkata hanya perlu membuat surat (permohonan).

“Prosesnya tidak susah dan polis memberi kerjasama dengan baik. Tetapi saya tetap berharap beliau dibebaskan secepat mungkin,” katanya.