Pelajar UiTM diarah berkumpul untuk ke sambutan Umno?

afif-uitm-umno-partiPETALING JAYA: PKR hari ini mempersoalkan tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam mengarahkan pelajarnya menyertai sebuah perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil petang ini, dengan berkata ia serentak dengan sambutan ulang tahun ke-71 Umno di situ.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata beliau dimaklumkan oleh ibu bapa penuntut mengenai surat pekeliling kepada pelajar aktiviti ko-kurikulum supaya berkumpul di padang UiTM pagi tadi.

Satu lagi kumpulan pelajar dari pasukan berseragam pula diarahkan berkumpul pada 2 petang tadi.

Afif mahu Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Hassan Said memberi penjelasan, dan berkata sekiranya benar, ia merupakan “usaha tersusun… memanipulasi dan memobilisasi mahasiswa”.

“Mengapakah mahasiswa dipaksa untuk hadir program seperti ini sehingga membenarkan surat pengecualian kuliah dikeluarkan, walhal kehadiran ke kuliah untuk mahasiswa adalah satu tanggungjawab hakiki setiap siswa di universiti?

“Berapakah dana yang telah diperuntukkan untuk melakukan kerahan seperti ini, termasuk kos pengangkutan, makanan, pakaian dan cetakan sijil seperti dalam mesej itu?” soal beliau.

FMT sedang berusaha mendapatkan respon UiTM.