Polis pantau kegiatan militan berkaitan Wanndy

abdul-jalil-hassan-militanMELAKA: Polis kontinjen negeri Melaka akan terus melakukan pemantauan terhadap semua aktiviti dan perkara yang disyaki ada kaitan dengan Ketua Militan IS Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi atau kumpulan lain.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata sehingga kini, pihak polis mendapati tiada lagi unsur berkaitan Wanndy mahupun militan IS di negeri ini.

“Kita juga melakukan pemantauan secara berterusan di kampung kelahiran Ketua Militan IS Asia Tenggara itu di Masjid Tanah dan mendapati tiada aktiviti mencurigakan yang mempunyai kaitan dengannya atau kumpulan militan Daesh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan Wanndy terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas.

Abdul Jalil berkata Polis Kontinjen Melaka yakin sehingga kini Melaka bebas daripada kegiatan militan IS.

“Di Melaka, kegiatan yang berkaitan dengan militan IS adalah kurang dan boleh dikatakan tiada baik di Masjid Tanah mahupun di daerah lain kerana pihak polis sentiasa membuat pemantauan ketat berhubung perkara tersebut.

“Pihak polis juga mendapat kerjasama erat daripada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menyelesaikan perkara tersebut dari peringkat awal,” katanya.