Tribunal khas, bukan mahkamah, selesai rebutan anak ibu bapa lain agama

mohamed-azamKUALA LUMPUR: Sebuah institusi pengajian Islam hari ini mencadangkan pertikaian hak penjagaan anak melibatkan pasangan Islam dan bukan Islam diselesaikan oleh tribunal khas dan bukan di mahkamah sama ada syariah atau sivil.

Insitut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) berkata cara itu dapat memberikan keadilan kepada kedua-dua pihak serta merungkai polemik yang berlaku dalam kes seumpama itu, ekoran percanggahan antara mahkamah syariah dan sivil.

“Pasangan beragama Islam mahu bawa kes ke mahkamah syariah, manakala yang bukan Islam mahu ke mahkamah sivil.

“Tetapi jika ada tribunal yang melibatkan pihak Islam dan bukan Islam, ia boleh mengurangkan polemik dan pertikaian pihak yang terlibat bagi mengelakkan perkara yang lebih merugikan, terutama kanak-kanak yang terlibat,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Prof Madya Mohamed Azam Mohamed Adil.

Beliau mengulas Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016, atau Akta 164, yang baru-baru ini ditangguhkan selepas melalui pembacaan pertama di Dewan Rakyat sesi lalu.

Pindaan itu bertujuan menghalang ibu atau bapa menukar agama anaknya secara sepihak serta memberikan kuasa kepada mahkamah sivil menentukan hal berkaitan perkahwinan sivil.

Ia berikutan kemelut yang berlaku dalam kes salah seorang pasangan memeluk Islam, dan membawa kes hak penjagaan anaknya ke mahkamah syariah, seperti dapat dilihat dalam kes Indira Gandhi dan Mohd Ridzuan Abdullah yang berlarutan sekian lama.

Azam berkata, panel yang menganggotai tribunal itu mestilah di kalangan pakar perundangan dalam undang-undang syariah dan sivil, malah hakim kedua-dua mahkamah “jika perlu ke tahap itu”.

“Ini memerlukan usaha dan persetujuan melibatkan pemerintah dan (perlu) dimajukan kepada Majlis Raja-raja… Mungkin sukar untuk menyelesaikan konflik ini dengan keseluruhan, tetapi ia dapat dikurangkan,” katanya.

Azam mencadangkan tribunal itu ketika membentangkan kertas kerjanya pada Muzakarah Pakar Maqasid Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, anjuran Insititut Kefahaman Islam Malaysia hari ini.

Beliau berkata pendekatan mediasi seperti itu dapat mengelak konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Selain itu, hakim kedua-dua mahkamah hendaklah bersidang apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam mahkamah siil. Hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil apabila ada keperluan,” katanya.