Exco: Zakat Pulau Pinang diaudit selepas siasatan selesai

Abdul-Malik-Abul-Kassim_zakat_penang_600

GEORGE TOWN: Juruaudit bebas akan dipanggil menjalankan audit ke atas Zakat Pulau Pinang (ZPP) selepas selesai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pegawai kanan badan zakat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kasim berkata, penglibatan audit bebas itu dibuat untuk melihat sama ada berlaku penyelewengan wang zakat negeri ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah mendapatkan khidmat juruaudit bebas, iaitu pada 2015 dan ketika itu tiada penyelewengan atau rasuah dikesan dalam ZPP.

“Kami boleh panggil juruaudit bebas itu untuk buat audit dalam ZPP, selepas pihak SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan. Sekarang ini terlalu awal untuk buat sebarang keputusan berhubung perkara itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan kepada ZPP membuat rombakan pegawai serta kakitangannya sekiranya terbukti wujud unsur penyelewengan dan rasuah terhadap kutipan wang zakat agensi itu.

Selasa lepas, SPRM Pulau Pinang menahan pegawai kanan ZPP berusia 50 tahun dan 3 pegawai badan itu serta 7 kontraktor bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan untuk projek pembangunan masyarakat sejak 3 tahun lepas.

Semua 7 kontraktor yang ditahan itu direman seminggu sehingga 15 Mei ini. Pada Rabu, SPRM menahan seorang lagi kontraktor wanita bagi membantu siasatan kes itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/10/4-pegawai-zakat-pulau-pinang-7-kontraktor-direman-7-hari/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/10/p-pinang-jamin-wang-zakat-selamat-susulan-tangkapan-sprm/