Kerajaan Malaysia didesak jangan buat ‘kerja kotor’ Erdogan

Eric-Paulsen_turgay-karaman_turki_law_600

PETALING JAYA: Beberapa pihak melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan 3 warga Turki yang bakal dihantar pulang ke negara mereka, dan berkata Malaysia tidak sepatutnya membuat “kerja kotor” bagi pihak Recep Tayyip Erdogan yang kini giat mengambil tindakan keras ke atas musuh politiknya.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) berkata Turgay Karaman, Ihsan Aslan and Ismet Ozcelik yang ditahan awal bulan ini hampir pasti menerima nasib yang menimpa beribu-ribu orang di Turki, yang dituduh menyokong percubaan merampas kuasa oleh sekumpulan anggota tentera pada tahun lalu.

LFL berkata ketiga-tiga mereka perlu diberikan perlindungan, dan sebarang tuduhan jenayah di Malaysia perlu dibicarakan oleh mahkamah tempatan.

“Banyak kerajaan sudah menolak permintaan Turki untuk mendapatkan ekstradisi rakyatnya, tetapi kerajaan Malaysia merupakan antara yang memenuhi permintaan itu walaupun ketiga-tiga mereka tidak melakukan apa-apa jenayah sebenar di Malaysia,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak akan melayan sebarang rayuan supaya warga Turki yang dituduh terlibat aktiviti keganasan itu tidak dihantar pulang.

“Itu bukanlah tanggungjawab kita. Kita harus hantar dia (warga Turki) ke negara asal. Kenapa kita harus berikan bebanan kepada negara lain?” kata Zahid.

Sebelum ini, isteri Turgay, Ayse Gul berkata suaminya bimbang sekiranya dihantar pulang ke Turki.

“Asalkan bukan Turki, kerana mereka akan menyeksanya,” kata Ayse yang merayu kerajaan Malaysia tidak menghantar pulang suaminya.

Polis mendakwa ketiga-tiga mereka terlibat dalam kegiatan militan. Bagaimanapun, beberapa laporan dari Turki berkata penangkapan mereka ada kaitan dengan tindakan keras Erdogan yang memenjarakan beribu-ribu orang kerana bersimpati dengan Gerakan Gulen yang diketuai Fetullah Gulen, ulama Turki yang hidup dalam buangan di Amerika Syarikat.

Sementara itu, pemimpin DAP P Ramasamy menyelar pihak berkuasa Malaysia kerana bekerjasama dengan Erdogan dalam melawan musuh politiknya.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata amat jelas Putrajaya sedang melakukan “kerja kotor” bagi pihak Erdogan.

“Adakah kerana mereka terlibat dalam aktiviti IS atau menyokong ulama dalam buangan Fetullah Gulen?

“Kalau Gulen seorang pengganas, mengapa beliau dibenarkan tinggal di Amerika Syarikat?” tanya Ramasamy.

“Malaysia hanya melakukan kerja kotor bagi pihak Erdogan.”

Ramasamy berkata apa yang dilakukan oleh Malaysia sama seperti tindakannya menghantar pulang warga Sri Lanka berbangsa Tamil yang melepaskan diri daripada tindakan tentera negara itu.

“Adalah sesuatu ajaib sekiranya mereka masih bernyawa di Sri Lanka,” katanya.

Ramasamy berkata kerajaan Malaysia perlu bertindak mengikut undang-undang dan proses mahkamah.

“Sekurang-kurangnya mahkamah boleh menentukan sama ada individu itu benar-benar bersalah atas pertuduhan yang dilemparkan.”