Malam ini Najib yakin tidak berdiri keseorangan

NajibKUALA LUMPUR: Menyaksikan ribuan yang hadir meraikan 71 tahun Umno membela bangsa, agama dan negara, Presiden Datuk Seri Najib Razak malam ini lebih yakin beliau tidak berdiri keseorangan.

Di hadapannya, lautan 100,000 ahli Umno berbaju merah yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di belakangnya, isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sesungguhnya saya berasa makin semangat, dan lebih yakin malam ini, kerana saya tidak keseorangan. ‘I am not alone’. ‘I am not the only one’,” kata Najib.

“Sebab saya dikelilingi pemimpin Umno, dalam saf yang padu, taat dan wala’ (setia) kepada kepimpinan parti. Ini jadi kekuatan kita.”

Sambil memuji 191 bahagian Umno yang hadir malam ini, Najib turut mengiktiraf peranan parti komponen Barisan Nasional dan menegaskan Umno bukan parti pelampau.

Paksi Islam, Melayu, Bumiputera, Malaysia

Najib dalam ucapannya menyimpulkan 4 sebab Umno dapat bertahan sehingga ke hari ini.

Pertama, Umno tidak pernah tinggalkan asas perjuangan parti. “Asas perjuangan parti kita berpaksi kepada Islam, Melayu, Bumiputera dan negara Malaysia keseluruhan.”

Walaupun Umno komited kepada pemerkasaan Islam dan Melayu, Najib mengingatkan: “Kedua…kita berjuang bukan untuk ahli Umno sahaja bahkan kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia tak kira kaum, agama dan keturunan.”

Ketiga, dasar yang diamalkan dan dilaksanakan sesuai mengikut era pembangunan supaya Umno terus relevan, dan keempat: visi yang jelas.

“Kita bukan macam pembangkang yang tidak sehaluan antara satu sama lain. Tetapi BN kita satu keluarga dan dokong dasar sama,” katanya.

Najib pegang kata-kata Hadi

Najib sempat berkongsi kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan kerjasama antara Umno-PAS kini bersifat amalan politik matang.

Meskipun ada perbezaan, Najib berkata bukan penghalang antara mereka. “Politik antara kita tidak berkelahi, sebaliknya politik utamakan kepentingan bersama.”

“Hadi turut kata dalam politik boleh beza pendapat, tapi isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara kena bersatu dan bersama.”

“Secara kebetulan saya dapat tahu hari ini Majlis Syura Ulama PAS telah batalkan tahaluf dengan PKR,” kata Najib.

Dr M tanam kebencian dalam Umno

Najib sempat menghentam bekas presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini dengan parti baharu, PPBM dan menyertai Pakatan Harapan bersama DAP, PKR dan Amanah.

Beliau menepis kerjasama itu sebagai agenda peribadi bekas perdana menteri itu.

“Kita tidak lupa siapa yang ajar kita selama ini yang DAP parti perkauman,” kata Najib. “Siapa bimbing kita puluhan tahun tanam kebencian terhadap DAP…cuvanis dan rasis yang benci Melayu dan Islam?”

“Sebab itu PAS, letak musuh Islam dan Umno, DAP musuh Melayu,” katanya.