Pengkritik 1MDB bebas dakwaan sabotaj sistem perbankan negara

KHAIRUDDIN_matthias_600KUALA LUMPUR: Hampir 2 tahun selepas mereka didakwa, Mahkamah Sesyen hari ini membebaskan bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang daripada tuduhan mensabotaj sistem perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.

Hakim, Wan Norisham Wan Yaakob berkata, pembebasan itu sememangnya wajar kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bukti mengaitkan mereka dengan dakwaan itu.

“Mahkamah juga bersetuju dengan pihak pembelaan, undang-undang kes ini yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk melepas tanpa membebaskan tidak terpakai dalam kes ini,” katanya.

Norisham sebaliknya berkata, hujah pihak pembelaan yang disokong contoh 3 undang-undang kes lain bertepatan dengan fakta kes ini untuk meminta tertuduh dibebaskan serta-merta.

Hakim kemudian mengarahkan Khairuddin dan Chang dibebaskan, dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 yang dibayar setiap seorang dikembalikan.

“Saya turut memerintahkan pasport mereka yang ditahan, dikembalikan,” katanya.

Turut hadir mendengar keputusan kes ini ialah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kemudiannya berkata, penghakiman hari ini mendedahkan mahkamah membuat keputusannya berdasarkan fakta kes.

Peguam kerajaan, Awang Armadajaya Awang Mahmud semalam memaklumkan Norisham pihak pendakwaan akan menamatkan kes itu.

“Kita tidak akan meneruskan kes ini demi kepentingan keadilan dan kesaksamaan. Kita mahu tertuduh dilepaskan, tetapi tidak dibebaskan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Khairuddin dan Chan bertegas anak guam mereka perlu dibebaskan kerana mereka tidak sepatutnya didakwa.

Jika pembebasan diberikan, pihak pendakwaan tidak boleh mendakwa mereka sekali lagi berdasarkan fakta sama, tetapi jika dilepaskan, mereka boleh didakwa sekali lagi atas pertuduhan sama kelak.

Semalam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berkata, kedua-dua tertuduh sekadar muncul di 5 balai polis di negara lain tidak menyebabkan mereka bersalah seperti didakwa.

Haniff berkata, pihak pembelaan akan mendedahkan jika kes itu diteruskan, pertuduhan itu dibuat dengan niat jahat oleh “mereka yang berkuasa”.

“Tawaran melepaskan tertuduh oleh pihak pendakwaan sekarang bermakna mereka boleh didakwa semula dan ia serupa dengan sebilah pisau digantung atas kepala mereka,” katanya.

Khairuddin dan Chang didakwa bersama di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan pada akhir 2015 untuk berada di balai polis bagi membuat laporan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut kertas pertuduhan, mereka berdua berada di Pejabat Ketua Polis Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan di Paris, Bakap Polis Charing Cross di London, Pejabat Peguam Negara Switzerland di Berne, Balai Polis Wai Chan di Hong Kong dan Ibu Pejabat Polis di Singapura.

Mereka berada di lokasi berkenaan antara 28 Jun hingga 26 Ogos 2015.

Menurut pertuduhan itu, perbuatan mereka bertujuan mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia dan boleh dipenjara sehingga 15 tahun jika kesalahan itu berjaya dibuktikan.