Penyajak berbilang kaum menang puisi Melayu tema Hinduisme

faisal-tehran_rakyat_kaum_600

PETALING JAYA: Pertandingan puisi bahasa Malaysia bertemakan Hinduisme yang dimenangi penyajak berbilang bangsa membuktikan sastera boleh dijadikan alat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini dan membantu mereka memahami agama lain, kata ketua jurinya, Faisal Tehrani.

Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa berkata, beliau sendiri terkejut dengan pengumuman pemenangnya kerana tidak sangka mereka ialah rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Sewaktu diberikan puisi tersebut untuk dinilai, kami tidak diberikan sebarang nama, hanya tahu judul puisi dan karyanya sahaja. Kita memang ada tolak beberapa puisi yang dilihat tidak sesuai kerana ada unsur provokasi terhadap agama lain.

“Malah, kami juga terkejut apabila penganjur mengeluarkan senarai pemenang, ada pelbagai bangsa yang memenangi hadiah utama,” kata penulis novel terkenal itu kepada FMT hari ini.

Pertandingan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan itu diadakan sehari selepas “puisi pagi Jumaat” penuh kontroversi karya Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang dilihat membidas pihak membantah pendakwah dari India, Dr Zakir Naik sebagai golongan mempertuhankan lembu dan mengamalkan kasta.

Sebanyak 26 penyertaan diterima antara 22 hingga 30 April lalu dengan setiap pemenang utama akan menerima wang tunai RM800 yang ditaja Amir Muhammad – penulis dan pemilik Matahari Books yang pernah menerbitkan buku Asri.

 

Mohd Faiz Nazim Baidilleh dengan puisi moden berjudul “Tiga” memenangi pertandingan itu bersama 2 lagi peserta, iaitu Lee Chen Kang (Cerita Muruga) dan T Viveganandan (Maka Kau Kubentuk).

Muhammad Fareed Isa dengan karya bertajuk Sirna Dalam Samsara, Muhammad Ruzaiman Ahmad (Karma Bima Sakti) dan Renganathan Palanisamy (Kami Yang Bergelar Penganut Hindu) pula akan menerima wang tunai RM160.

Mengulas lanjut, Faisal berkata, penganjuran pertandingan itu juga dapat menangkis persepsi bahasa Malaysia milik masyarakat Melayu dan Islam, sekaligus membantu bahasa itu keluar daripada cengkaman sastera Islam.

“Jika bangsa Cina dan India membaca mengenai sastera Melayu, ia penuh dengan konsep Islam. Penganjuran pertandingan ini membantu bahasa Malaysia atau bahasa Melayu keluar daripada cengkaman sastera Islam.

“Bahasa Malaysia pernah menjadi lingua franca dan bukan sahaja sebagai bahasa perdagangan bahkan juga bahasa penyebaran agama. Jadi, ia bukan sesuatu perkara yang asing,” katanya sambil menambah bahasa Malaysia adalah milik mereka yang menguasainya.

Beliau juga yakin pertandingan itu tidak akan membangkitkan sebarang isu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/23/asri-buang-puisi-jumaat-dari-facebook/