Video rakam detik warga Turki ditahan di Malaysia

Ismet-OzcelikKUALA LUMPUR: Sebuah laman berita Turki memuat naik sebuah klip video kabur yang merakamkan detik-detik ahli akademik Ismet Ozcelik di tahan di Malaysia pada akhir tahun lalu.

Melalui surat daripada Kedutaan Turki, Ismet dimaklumkan oleh anggota keselamatan yang beliau merupakan ahli “pertubuhan pengganas” FETO (Fethullahist Terrorist Organization), nama jolokan yang diberikan kepada gerakan Gulen pimpinan ulama dalam buangan, Fethullah Gulen.

Gulen dituduh oleh pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan mendalangi percubaan rampasan kuasa yang berjaya dipatahkan tahun lalu.

Video berdurasi 2 minit yang disiarkan laman Turkey Purge itu menunjukkan perbalahan seorang warga Turki, dipercayai kawan Ismet, dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung penahanan itu.

Ismet adalah pengarah Universiti Mevlana di Turki dan ditahan ketika datang ke Malaysia pada 13 Disember lalu.

“Mana dokumen rasmi?… Saya ingin melihat dokumen rasmi. Macam mana anda boleh tahan seseorang di rumah mereka? Saya berhak (melihat dokumen),” katanya dalam rakaman video itu.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan luar rumah jenis pangsapuri.

“Anda tidak boleh menangkap gambar dokumen. Ini dokumen rasmi,” kata seorang warga Malaysia, dipercayai anggota polis.

Selepas meminta beberapa kali, warga Malaysia itu memberi kebenaran kepada warga Turki itu melihatnya.

“Merujuk surat anda bertarikh (tidak jelas)… kedutaan memaklumkan pasport Turki Ozcelik merupakan ahli pertubuhan pengganas FETO dibatalkan pada 22 Ogos 2016 dan tidak lagi sah. Butiran pasport seperti di bawah,” kata warga Turki itu ketika membaca dokumen tersebut.

Kedengaran juga seorang yang memberi amaran agar video itu tidak dirakam.

Erdogan kini giat mengambil tindakan keras terhadap pengkritiknya, dan kerap menuduh mereka sebagai pengganas.

Lima warga Turki yang ditahan di Malaysia turut dikaitkan dengan pergerakan itu.

Malam tadi, Malaysia menghantar pulang Ismet bersama 2 lagi yang ditahan awal bulan ini, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan.

3 warga Turki sudah dihantar pulang