Azmin tak arah saya lepaskan jawatan, tegas Iskandar

Iskandar-Abdul-Samad-azmin-pasPETALING JAYA: Datuk Iskandar Abdul Samad hari ini menegaskan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mengarahkannya melepaskan jawatan exco Selangor ekoran PAS memutuskan hubungan dengan PKR.

“Tidak, tidak ada arahan apa jua,” kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu kepada Malaysiakini di luar acara mesyuarat speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri 2017 di Shah Alam, hari ini.

The Star hari ini melaporkan Azmin meminta 3 wakil rakyat PAS di negeri itu melepaskan jawatan exco kerajaan negeri, ekoran keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan dengan PKR, kelmarin.

Menurut laporan tersebut, menteri besar Selangor membuat permintaan “mengejutkan” itu dalam mesyuarat 1 jam dengan Iskandar, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Zaidy Abdul Talib dan Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Sallehen Mukhyi, semalam.

Laporan itu menyebut Azmin memberi jaminan PAS masih boleh menjadi sebahagian kerajaan negeri sejajar mandat kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, dengan mengekalkan jawatan sebagai ahli majlis dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan terus menikmati peruntukan pembangunan negeri.

Mengulas lanjut, Iskandar yang juga naib presiden PAS menyifatkan pertemuan semalam antara Azmin dengan 3 exco dan pesuruhjaya PAS Selangor “sangat baik”.

Ketika ditanya sama ada laporan The Star itu betul, beliau yang juga Adun Cempaka berkata: “Saya tidak tahu. Tetapi saya tidak menerima apa-apa.”

Azmin tidak pernah arah 3 exco PAS lepas jawatan, kata setiausaha politik

Azmin beri jaminan kepada Sultan Selangor kekal exco PAS

Report: Azmin tells PAS exco men to resign