Guru sekolah agama ditahan, disyaki cabul pelajar

rape-arrestedPETALING JAYA: Seorang guru lelaki di sebuah sekolah agama di Bandar Baru Bangi ditahan polis kerana disyaki mencabul 6 pelajarnya sejak 2014.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan yang dipetik Bernama berkata, lelaki itu ditahan susulan 6 laporan dibuat ibu bapa dan penjaga mangsa Khamis lalu.

Berdasarkan keterangan mangsa, katanya, mereka mendakwa dicabul guru berusia 29 tahun itu ketika berada di sekolah di bawah seliaan kerajaan Selangor itu sejak 3 tahun lalu.

Othman berkata, ibu bapa dan penjaga mangsa memutuskan untuk membuat laporan polis kerana tiada tindakan diambil pihak sekolah selepas seminggu kejadian itu dilaporkan.

“Mangsa yang berusia 11 dan 12 tahun itu tidak mendedahkan perkara itu kepada sesiapa kerana malu dan takut dimarahi suspek, selepas berjanji tidak akan memberitahunya kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, suspek direman 4 hari sehingga Isnin ini.