Hanya Dr Mahathir boleh kalahkan Najib, kata Zaid

zaid-ibrahim-mahathirPETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim terus memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang dinamakan perdana menteri oleh parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata, perkara itu amat perlu kerana BN kini lebih kuat daripada dahulu terutama dengan sokongan PAS kepada Umno.

“PAS kini dengan BN, dan dinamik itu berubah daripada PRU13. BN lebih kuat berbanding sebelum ini.

“Jadi, ini memerlukan pendekatan berbeza sama sekali dalam menangani isu-isu pada PRU14,” katanya dalam ucapan bertajuk “Ubah kesukaran kepada kemenangan” pada majlis makan malam kutipan dana DAP di Tropicana Golf Resort, semalam.

“Kecuali kita sanggup menjadikan pilihan raya ini sebagai pertandingan idea tentang masa depan negara serta pertandingan antara 2 personaliti yang bermusuhan – Najib dan Dr Mahathir – tidak akan ada keseronokan secukupnya (untuk pengundi) menukar status quo.”

Zaid turut mengakui pandangan ikhlas beliau mengenai prospek kemenangan atau kekurangan untuk Pakatan Harapan, sering tidak diterima baik pemimpin DAP – parti yang beliau sertai sejak Februari lalu.

“Tetapi, DAP ialah sebuah parti idea dan saya tahu mereka tidak akan ‘menghukum’ saya walaupun mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan,” katanya merujuk pemimpin DAP yang hadir, termasuk Lim Kit Siang dan Liew Chin Tong.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menyasarkan 2 sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, iaitu PKR dan PPBM, kerana tidak menyedari keperluan untuk memutuskan hubungan dengan PAS sepenuhnya.

“Jika PKR dan beberapa elemen dalam PPBM masih berdepan kesukaran bersendirian tanpa PAS, apa agenda reformis yang mereka ada?

“Jika mereka masih mahu bekerjasama dengan PAS untuk memenangi pilihan raya ini, apa beza mereka dengan BN?” soalnya yang memberi amaran kepada pemimpin Pakatan Harapan terhadap perebutan jawatan perdana menteri.

Beliau mengulangi pendiriannya hanya Dr Mahathir mempunyai kelayakan dan rekod prestasi terbukti untuk menewaskan Najib kerana bekas perdana menteri itu ialah pemimpin yang lebih baik dari segi pengurusan ekonomi dan penjagaan rakyat dengan baik.

“Dr Mahathir juga pemimpin yang boleh memastikan Malaysia bebas daripada Taliban,” katanya sambil menambah, bekas perdana menteri itu akan membawa kredibiliti kepada pasukannya.

“Jika beliau kata mansuhkan GST atau mempunyai rancangan untuk menurunkan harga barang dan menguruskan ekonomi lebih baik atau jika dia berjanji memasukkan pencuri ke penjara, beliau akan dipercayai.

“Apa yang penting ialah rakyat percaya beliau.”

Ketika mengejek pemimpin pembangkang yang mengatakan mudah untuk mencari pemimpin lebih baik daripada Najib, Zaid berkata “terdapat 20 juta rakyat Malaysia yang lebih baik daripada Najib.”

“Tetapi, apa yang kita cari ialah seseorang yang boleh mengalahkannya dan BN pada pilihan raya akan datang.

“Hanya Dr Mahathir boleh mengalahkannya.”