Umno Johor mahu Shahrir kekal tanding

Jais-Sarday-shahrirJOHOR BAHRU: Badan Perhubungan Umno Johor mahu Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mempertimbang semula hasratnya tidak mahu bertanding lagi sekiranya pucuk kepimpinan parti masih memerlukan khidmat beliau sebagai wakil rakyat.

Semalam, Shahrir mengulangi pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan yakin kepada pelapis dalam kalangan Umno di bahagiannya.

Setiausaha Umno Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, meskipun pihaknya menyambut baik pendirian Shahrir yang menegaskan tidak akan bertanding, tetapi Umno masih memerlukan idea dan sentuhan beliau.

Kata Md Jais, Shahrir adalah pemimpin dan tokoh politik yang amat berpengalaman dalam Umno dan pucuk pimpinan parti di peringkat menghormati keputusan itu.

Katanya, bagaimanapun sama ada Shahrir akan dicalonkan pada PRU14 hanya akan ditentukan pucuk pimpinan tertinggi Umno.

“Jika pucuk pimpinan tertinggi melihat khidmat atau kepemimpinan Tan Sri Shahrir masih diperlukan, beliau kena pertimbangkan hasrat (tidak bertanding) itu.

“Ia adalah bagi menjaga kelangsungan parti di tambah pula pada masa ini Umno memerlukan banyak idea dan sentuhan terutama daripada individu seperti Tan Sri Shahrir bagi berdepan gelombang pilihan raya,” katanya dipetik BH Online.

Shahrir yang juga Pengerusi Felda yakin pengundi di bandar raya itu membuat penilaian, pertimbangan dan pendekatan ke depan dengan tidak mengundi hanya kerana nama besar dalam politik.

Kata Shahrir, keputusan itu dibuat selepas menganggap sudah sampai masa beliau mengundur diri dan memberi peluang kepada para pelapisnya.

“Kita perlu yakin kepada yang lebih muda untuk teruskan perjuangan. Saya sendiri selalu berkongsi dan menerapkan nilai-nilai murni kepada generasi muda kerana saya hanya meneruskan apa yang berlaku sebelum ini.

“Jadi, saya yakin mereka yang mengambil alih Johor Bahru juga akan meneruskan apa yang ada di sini. Saya sendiri sudah melatih satu jawatankuasa yang dianggotai kira-kira 30 orang termasuk Pemuda, Wanita, Puteri dan lain-lain,” katanya.

Shahrir berkata, beliau turut telah diminta mencadangkan 5 nama kepada pucuk pimpinan untuk menggantikan tempatnya.