BN yakin rampas kerusi Pujut

zahid-pujut

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut, Sarawak yang disandang DAP jika pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan sokongan padu rakyat Sarawak terhadap BN seperti dibuktikan ketika pilihan raya negeri Mei 2016.

“Pada pilihan raya negeri Sarawak, kita menang 72 daripada 82 kerusi DUN. Di Pujut akan berlaku pilihan raya kecil, insya-Allah kita tambah jadi 73 kerusi,” kata beliau dipetik BH Online.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Begandang Beaufort, Beaufort hari ini.

Jumaat lalu, sidang DUN Sarawak sebulat suara bersetuju melucutkan keanggotaan Adun Pujut dari DAP, Dr Ting Tiong Choon selepas beliau didakwa turut memegang kewarganegaraan Australia.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mengumumkan keputusan itu selepas undian kepada usul terbabit dijalankan, menyaksikan 70 menyokong manakala 10 menentangnya.

Susulan keputusan itu, pilihan raya kecil dijangka diadakan di kawasan berkenaan.

DAP mahu mencabar keputusan itu di mahkamah.