Kleptocrazy Malaysia: Menteri bimbang rakyat jadi ‘hakim’, tidak etika

paul-low-3

PETALING JAYA: Laman web Kleptocrazy Malaysia, yang dilancarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan kelmarin bagi membolehkan orang ramai mendedahkan kehidupan luar biasa ahli-ahli politik dan orang ramai, dikhuatiri mencetuskan persoalan sama ada orang ramai akan bertindak dengan etika dan adil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low menyifatkan langkah membiarkan orang awam memuat naik gambar pegawai-pegawai awam dan keluarga mereka di laman web dalam usaha untuk membersihkan rasuah kemungkinan tidak beretika.

“Laman web, pada keseluruhan adalah seperti sebuah mahkamah di mana ia sebenarnya akan membuatkan orang ramai bertindak umpama hakim, tidak kira sama ada ia benar atau tidak,” kata beliau FMT.

Beliau yang bertanggungjawab kepada soal tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia juga mempersoalkan kredibiliti dan kesahihan maklumat mengenai individu yang dianggap terlibat dalam pelakuan rasuah.

“Bagaimana anda boleh memastikan maklumat diberikan oleh orang ramai adalah sahih dan tidak mempunyai motif tersembunyi?

“Bagaimana jika orang (yang dianggap rasuah itu) tidak bersalah? Bagaimana orang yang boleh mempertahankan diri mereka sendiri?” kata beliau.

Sebaliknya Low mencadangkan platform itu digunakan sebagai saluran menyediakan maklumat mengenai pihak yang ‘dituduh’ berbanding tampil sebagai pemberi maklumat tanpa nama.

Kelmarin, Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) melancarkan Kleptocrazy Malaysia yang merupakan 1 platform khas untuk orang ramai mendedahkan kekayaan luar biasa milik penjawat awam dan ahli-ahli politik negara ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, laman web itu akan membolehkan orang ramai menghantar gambar penjawat awam serta keluarga mereka yang hidup di luar kemampuan mereka, sekali gus membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menentukan sama ada individu terbabit perlu disiasat kerana mempunyai “kekayaan luar biasa”.

Ketika melancarkan laman web itu, beliau berkata, sejak Datuk Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM 8 bulan lalu, badan antirasuah itu mencatatkan 24 kes, termasuk beberapa kes berprofil tinggi seperti Jabatan Air Negeri Sabah dan skandal penukaran status tanah di Johor.

Malangnya, kata beliau, orang ramai tidak terbabit dalam perjuangan menentang rasuah itu.

“Kami hanya duduk dan lihat. Sebaliknya, kita perlu membantu mereka mengetengahkan kes,” katanya kepada hadirin yang termasuk aktivis terkemuka, seperti Marina Mahathir dan kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque.

Ini tempatnya untuk Kleptocrazy Malaysia memainkan peranan penting, terutama dalam mengawasi pemimpin politik menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Gabriel bagaimanapun berkata, platform interaktif itu tidak menyasarkan individu perseorangan atau dendam peribadi dalam inisiatif itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/13/c4-ajak-rakyat-dedah-kekayaan-luar-biasa-ahli-politik-penjawat-awam/