PAS masih lantik wakil PKR sebagai ahli majlis di Kelantan

Datuk-Abdul-Fattah-Mahmood

PETALING JAYA: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dari PKR di Kelantan yang baru mengangkat sumpah minggu lalu tidak akan ditarik balik pelantikan mereka walaupun selepas putus hubungan kerjasama PAS dan PKR.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri masih melantik wakil PKR di semua PBT di Kelantan bagi sesi 2017.

“Semoga mereka yang dilantik akan menghargai keikhlasan PAS dalam berkawan,” katanya dipetik lidah rasmi PAS Harakahdaily, yang melaporkan 3 ahli majlis daripada PKR dilantik pada 7 Mei lepas.

Ia di sebalik beberapa seruan supaya 3 exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor yang turut diserta PKR dan DAP, melepaskan jawatan mereka.

PAS mempunyai 3 exco di Selangor – Datuk Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – serta ramai ahli majlis di peringkat kerajaan tempatan.
Timbalan Speaker Selangor Shafie Ngah juga daripada PAS.

Muktamar PAS pada 30 April lepas sebulat suara meluluskan usul memutuskan “tahaluf siyasi”, atau kerjasama politik, dengan PKR. Keputusan diluluskan Majlis Syura Ulama PAS Khamis lepas.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution menyeru PAS berundur dari pentadbiran kerajaan negeri sekiranya parti itu ambil keputusan memutuskan kerjasama.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bertegas hanya parti itu berhak memutuskan sama ada ketiga-tiga exconya kekal.

Ia akan ditentukan oleh PAS Khamis ini.

“Walau bagaimanapun, sekiranya ada pihak lain yang dikira lebih berkuasa tidak membenarkan Pas berbuat demikian (lepas jawatan), maka kita serah kepada Jawatankuasa Pas Pusat yang akan bermesyuarat Khamis ini,” kata Hashim dipetik Utusan Malaysia.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini berkata exco PAS akan kekal dalam pentadbirannya memandangkan pengundi memilih PAS bersama DAP dan PKR untuk membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum yang lalu.