Turunkan kg, dapatkan 1g

kastam

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) daerah Sungai Petani menawarkan kepingan emas seberat 1g kepada kakitangannya yang berjaya mengurangkan berat badan sehingga mencapai Body Mass Index (BMI) antara 19 hingga 26.7 dalam tempoh setahun.

Ketua Kastam daerah Sungai Petani, Mohd Sukri Jusoh yang dipetik Sin Chew Daily berkata, program mengurangkan berat badan itu diadakan bertujuan membentuk sebuah pasukan yang sihat dan cergas.

Ini kerana, katanya, 20% daripada 95 kakitangannya didapati mempunyai berat badan berlebihan.

“Mulai hari ini, pegawai dan anggota Kastam daerah Sungai Petani perlu datang kerja awal sejam setiap Ahad untuk melakukan senanam pagi di padang,” katanya dipetik akhbar itu ketika menghadiri Program Kecergasan JKDM Sungai Petani, semalam.

Harga untuk kepingan emas seberat 1g ketika ini kira-kira RM170.