Khalid perlu kotakan janji, pecat ketua polis Serdang, kata DAP

Lim-Lip-Eng-khalidPETALING JAYA: DAP hari ini mahu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar segera bertindak memecat ketua polis daerah Serdang, susulan kejadian jenayah di Puchong minggu lalu yang menurutnya adalah bukti judi haram semakin berleluasa walaupun selepas amaran diberikan kepada pegawai polis lebih 2 tahun lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata rakaman litar tertutup (CCTV) mengenai kes samun dan rogol di sebuah pusat judi haram di Puchong menunjukkan kegiatan itu masih aktif walaupun Khalid pernah memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap kegagalan polis menghapuskan aktiviti itu di daerah kawalan mereka.

“Khalid mesti menjelaskan kenapa ketua polis daerah Serdang yang bertanggungjawab bagi kawasan jenayah terbabit belum dipecat dalam masa 24 jam.

“Saya menuntut Khalid untuk mengisytihar ‘perang’ ke atas pusat-pusat judi haram ini sekali lagi. Dan kali ini jika beliau gagal, beliau lah yang harus meletakkan jawatan,” kata Lim.

Beliau merujuk kenyataan Khalid pada Oktober 2014 yang mahu KPD membersihkan premis mesin judi haram dalam tempoh seminggu.

Lim berkata selepas lebih 2 tahun amaran Khalid itu, pusat judi haram “makin menjadi-jadi”.

“Di Lembah Kelang, terutamanya di Kuala Lumpur, gejala sosial ini terdapat di mana-mana kawasan komersial dengan kehadiran pekerja asing,” kata Lim, yang berkata ramai pelanggan premis itu adalah pendatang tanpa izin.

“Mungkin pihak berkuasa harus meminta bantuan bomoh untuk mencari warga asing tanpa dokumentasi ini yang menjalankan kerja jenayah apabila kerugian hasil pencarian di meja judi.”