Penumpang bertambah, Malaysia Airlines terpaksa sewa pesawat

Malaysia AirlinesPETALING JAYA: Malaysia Airlines kini berdepan masalah kekurangan pesawat selepas penumpang kembali mempercayai kredibiliti syarikat penerbangan negara itu.

Sehubungan itu, mereka bercadang menyewa 12 pesawat terpakai lebih lebar mulai sekarang sehingga akhir 2019 untuk terbang ke 9 laluan utama di seluruh Asia.

Syarikat itu mengecilkan rangkaian laluannya selepas 2 insiden udara pada 2014, tetapi kini ia mula mengembangkan kembali perkhidmatannya.

Buat masa ini, Malaysia Airlines mempunyai 77 pesawat. Tempahan pertama pesawat baharunya dijangka tiba hujung tahun ini.

The Star memetik Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew sebagai berkata, jumlah penumpang dan permintaan untuk perkhidmatan syarikat itu, termasuk kelas perniagaan bertambah.

Katanya, faktor beban keseluruhan amat baik dengan jumlah penumpang bertambah sebanyak 12.9% dari tahun ke tahun pada suku pertama kepada 3.6 juta penumpang.

“Kami hanya tidak mempunyai kapasiti mencukupi, jadi kami mencari 6 pesawat berbadan lebar jenis A330 untuk 2018 dan 6 lagi pada 2019. Sembilan laluan itu merentasi Jepun, Taiwan, China, India dan Indonesia.

“Dalam jangka panjang sehingga 2023, kami memerlukan 30 hingga 35 pesawat bersaiz lebar,” kata Bellew dipetik The Star.

Syarikat itu akan menerima tempahan pertama 6 pesawat baharu jenis A350-XWB menjelang akhir tahun ini.

Ia akan menggantikan pesawat A380 yang akan digunakan untuk penerbangan haji mulai akhir tahun ini.

Malaysia Airlines turut menempah 25 pesawat baharu B737-Max 8. Penghantaran pesawat pertama itu dijangka pada akhir 2019.

“Cabaran terbesar kami ialah kekurangan tempat duduk kelas perniagaan, susulan peningkatan tempahan sebanyak 90% sejak 9 bulan lepas. Pesawat bersaiz lebar itu dilengkapi katil dan lorong laluan berkembar yang akan memberi lebih keselesaan kepada penumpang,” katanya.

Pakar memberitahu The Star, Malaysia Airlines perlu segera tampil dengan strategi penggantian pesawat memandangkan pesaing mereka di rantau ini memiliki pesawat model terkini serta pakaian seragam terbaru.

“Kami perlu mempunyai 30 hingga 35 pesawat bersaiz lebar menjelang 2023. Kami juga perlu menggantikan beberapa pesawat A330 yang lama mulai 2019,” kata Bellew.

Sementara itu, The Edge melaporkan Malaysia Airlines menangguhkan rancangan memperkenalkan tempat duduk kelas ekonomi premium untuk 6 pesawat Airbus A350-900 yang baru.

Kelas ekonomi premium adalah ruang kecil antara kelas ekonomi dan kelas perniagaan. Mereka mempunyai ruang kaki dan tempat duduk lebih luas berbanding kelas ekonomi, tetapi lebih murah daripada kelas perniagaan.

The Edge memetik jurucakap Malaysia Airlines sebagai berkata, syarikat penerbangan itu pada mulanya merancang memperkenalkan tempat duduk ekonomi premium untuk pesawat A350-900, tetapi kemudiannya memutuskan untuk menampung lebih ramai penumpang kelas perniagaan.

“Sebanyak 288 tempat duduk dalam A350-900 kini terdiri daripada 4 tempat duduk kelas pertama, 35 (tempat duduk kelas perniagaan) dan 249 (tempat duduk kelas ekonomi),” kata jurucakap itu kepada sekumpulan wartawan Malaysia semasa melawat kilang Airbus Broughton di Wales Utara minggu lalu.

The Edge melaporkan syarikat penerbangan itu menggantikan 6 pesawat A380 dengan A350 yang cekap bahan api untuk penerbangan 2 kali sehari laluan Kuala Lumpur-London bermula akhir tahun ini.