Ada apa pada nama – tahaluf siyasi dan istilah Arab lain

mahathir-pasPETALING JAYA: Kira-kira 23 tahun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno menjawab seruan perwakilan yang mahu perkataan “Islam” diharamkan daripada nama parti politik, langkah yang dilihat bagi menghalang seteru mereka mengembleng sokongan umat Islam.

“Dengan begitu ramai orang Islam dan tok guru agama menyokong PAS, maka penggunaan perkataan Islam kepada parti oleh pemimpin-pemimpin PAS sudah tidak dapat dibatalkan lagi,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya pada November 1994.

“Mereka akan menuduh Umno mengharamkan Islam dan bukan mengharamkan penggunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama parti PAS,” kata presiden Umno itu.

Penggunaan nama Islam tidak terhad kepada PAS. Pelbagai perniagaan dan pertubuhan di Malaysia secara tradisi menggunakan nama “Islam”, di samping istilah Arab lain, sama ada sebagai strategi pemasaran atau menonjolkan imej Islam mereka.

Dua hari lepas, Dr Mahathir mengulangi kebimbangan yang pernah disentuhnya 2 dekad lalu.

Menulis dalam blognya, negarawan yang masih pengkritik tegar PAS walaupun kini berada di barisan depan kem pembangkang, berkata PAS memanipulasi istilah Arab untuk agenda politiknya.

Beliau memberikan contoh istilah “tahaluf siyasi”, yang dipopularkan pemimpin PAS untuk menggambarkan kerjasama dengan parti lain.

Istilah itu sekali lagi menjadi sebutan media baru-baru ini selepas PAS memutuskan kerjasama dengan PKR, 2 tahun selepas memutuskan hubungan dengan DAP.

“Tahaluf siyasi” pertama kali diperkenalkan kepada pengundi selepas pemimpin ulama PAS mengeluarkan kertas kerja, memberikan lampu hijau kepada parti itu untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam satu gabungan.

“Ayat-ayat Al-Quran yang disebut dalam kertas ‘tahaluf siyasi’ itu tidak menentukan kerjasama politik seperti itu halal atau tidak,” tulis Dr Mahathir, menghentam parti itu kerana menggunakan istilah Arab untuk mencari sokongan orang Islam.

Bagi bekas ahli PAS, Wan Ji Wan Hussin, penggunaan istilah Arab oleh parti itu suatu bentuk manipulasi.

“Banyak terma Arab yang digunakan, dimanipulasi untuk menarik undi.

Sepatutnya agama jangan dimanipulasi untuk keuntungan beberapa pihak,” kata bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor itu.

Kini bersama PKR, Wan Ji berkata orang Melayu-Islam perlu berwaspada dengan penggunaan istilah Arab.

Beliau berkata tidak salah menggunakan istilah Arab selagi tidak ada agenda politik tersembunyi.

Beliau menjelaskan di dunia Arab, “tahaluf siyasi”, yang bermaksud kerjasama politik, juga digunakan orang bukan Islam.

“Terma seperti tahaluf siyasi digunakan banyak orang Arab beragama lain seperti Kristian dan Yahudi. Ia tidak memberikan apa-apa maksud yang melambangkan agama Islam.”

Jurucakap Bebas Azrul Mohd Khalid berkata bahasa tidak meningkatkan nilai sesuatu dasar.

“Sama ada dasar itu dibacakan dalam Bahasa Arab atau apa sahaja bahasa, dasar buruk tetap buruk. Istilah Arab tidak menghalalkan dasar yang tidak baik,” kata beliau yang kerap mengkritik dasar PAS.

Tetapi Azrul berkata rakyat hari ini semakin matang, dan percaya mereka sedar sama ada mereka sedang diumpan parti politik atau tidak.

PAS guna istilah Arab raih sokongan orang Melayu, kata Dr M