Jenazah Thaqif: Hasil bedah siasat diketahui 2 minggu lagi

subramaniam

KUALA LUMPUR: Keputusan hasil bedah siasat ke-2 ke atas mayat khususnya sampel kaki Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11 dijangka diketahui dalam tempoh 2 minggu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata bedah siasat pertama ke atas pelajar tahfiz yang meninggal dunia 26 April lepas itu sudah dijalankan namun punca kematiannya masih belum diketahui.

“Proses penggalian balik (mayat) dilakukan agar pakar patologi dapat menentukan punca kematian Thaqif.

“Walaupun kita mempunyai tentatif diagnosis tetapi saya tidak akan mengumumkan keputusan tersebut. Kita akan tunggu laporan akhir untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Saintifik yang ke-47 dan Jubli Emas Persatuan Orthopedik Malaysia (MOA) hari ini.

Menurut beliau, walaupun pakar patologi pada mulanya mendapat beberapa penemuan hasil daripada bedah siasat pertama namun mereka masih tidak berpuas hati dengan bukti yang sedia ada.

“Apabila pemotongan kaki dijalankan, doktor pakar tidak sangka dia akan meninggal dunia. Kematian Mohamad Thaqif mengubah sudut penyiasatan,” katanya sambil menambah kaki Thaqif dikebumikan lebih awal mengikut ritual agama.

Terdahulu, Mohamad Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dipercayai dipukul dengan getah paip oleh pembantu warden di madrasahnya.

Kecederaan tersebut menyebabkan kedua-dua kakinya dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong.

Doktor turut memutuskan untuk memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman namun ditangguhkan kerana jantungnya tidak stabil sebelum kanak-kanak malang itu meninggal dunia.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/19/kubur-thaqif-digali-semula/