Zahid: ‘Pembersihan’ menyeluruh agensi di bawah KDN

zahid-rela

SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan “pembersihan” menyeluruh untuk memerangi gejala anggota penguat kuasa bersubahat dengan penjenayah, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri dalam negeri itu berkata, “pembersihan” itu termasuk di agensi lain di bawah kementeriannya seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini yang KDN tidak akan berkompromi dengan anggota penguat kuasa yang didapati bersubahat dengan sindiket jenayah.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) sentiasa konsisten di dalam menangani isu ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Saya ingin menyatakan penghargaan kepada PDRM atas integriti terbaik.

“Kami di KDN tidak boleh merasa malu, jika ada orang dalaman (terlibat dengan jenayah). Tidak akan ada perlindungan daripada kami.

“Kita akan tangkap mereka…di bawah pimpinan Zahid, tidak mungkin saya akan berkompromi,” kata menteri dalam negeri itu dalam sesi soal jawab program “Universiti Bersama Timbalan Perdana Menteri” di Universiti Teknologi Mara, hari ini.

Pada 13 Mei lalu, 16 anggota dan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana didakwa melindungi sindiket pengedaran dadah.

Susulan itu, PDRM mengumumkan akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap jabatan itu serta meneruskan operasi mengesan pegawai lain yang turut terlibat.

Selain penahanan 16 anggota dan pegawai Bukit Aman itu, 6 pegawai polis Melaka turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dengan rasuah melindungi pusat judi di negeri itu.

Wang berjumlah RM645,000 ditemui di rumah dan akaun milik 2 ketua polis daerah serta 7 individu lain yang terlibat.

“Semalam saya bertemu ketua polis Melaka dan memberi sokongan kepadanya untuk memastikan mereka yang terlibat tidak dilindungi, walaupun ada di kalangan mereka (beri alasan) kononnya dianiaya dan dipaksa.

“Walaupun kadar jenayah menurun, persepsi terhadap polis tidak meningkat…kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, ini perlu dibanteras,” katanya.

Zahid: Tiada kompromi kes polis lindungi sindiket dadah