AADK: 2,000 sekolah seluruh negara berisiko kegiatan dadah

Rahman-Hamid-dadahMELAKA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti 2,000 sekolah seluruh negara berada di kawasan berisiko kegiatan penagihan dadah dalam usaha memantau penglibatan pelajar daripada terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Pengarah (Pencegahan) AADK Abdul Rahman Hamid berkata daripada jumlah itu, sebanyak 400 sekolah dalam kawasan berisiko berkenaan dikenal pasti pelajarnya positif dalam kegiatan penagihan dadah di mana kebanyakan sekolah menengah.

Beliau berkata pelajar yang terlibat berusia antara 14 hingga 16 tahun dengan peratusan tertinggi adalah pelajar lelaki, manakala sekolah dikenal pasti itu antaranya di kawasan penempatan nelayan, Felda dan projek perumahan rakyat yang terletak di kawasan pedalaman.

“Tiga negeri yang mencatatkan jumlah penagihan dadah tertinggi dalam kalangan pelajar sekolah di Kedah, Kelantan dan Perak di mana dadah yang terlibat adalah jenis konvensional dan sintetik seperti syabu.

“Tangkapan melibatkan pelajar sekolah yang positif dadah pada tahun lepas sebanyak 1,743 orang dan kita lihat angka itu agak tinggi dan membimbangkan sekiranya tindakan awal tidak dilakukan segera,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu membanteras penagihan dadah di Sungai Udang malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata AADK kini diberi kebenaran oleh Kementerian Pendidikan untuk melakukan pemeriksaan ke atas pelajar di sekolah yang dikenal pasti itu dalam usaha mengekang penglibatan pelajar dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di peringkat awal.

Beliau berkata usaha tersebut akan dilakukan dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelajar yang dikesan positif dalam penyalahgunaan bahan terlarang berkenaan akan segera diberikan rawatan pemulihan.

Katanya langkah pencegahan di peringkat sekolah adalah tapisan ke-2 yang perlu dilaksanakan secara konsisten bagi membendung penglibatan pelajar sekolah selain peranan institusi kekeluargaan.

Sementara itu, pihaknya juga sedang mempergiatkan program pendidikan tentang kesan dan bahaya penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan secara lebih erat.

Dalam operasi yang turut disertai Pengarah AADK Melaka Mohamad Yusof Kameh itu, 14 penagih dadah berusia antara 31 hingga 57 tahun ditahan dalam operasi melibatkan 18 anggota penguatkuasaan termasuk pihak PDRM dan Jabatan Pendaftaran Negara Melaka di sebuah ladang kelapa sawit bermula 3 petang hingga 8 malam tadi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seorang daripada mereka merupakan lelaki berusia lingkungan 40-an diserahkan kepada polis kerana memiliki dadah dipercayai heroin seberat 2.8 gram bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.