Biar universiti tentukan yuran sendiri, kata badan pemikir

wan-saiful-universiti

KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mencadangkan universiti awam diberi kebebasan menetapkan yuran pengajian sendiri.

Ini kerana, kata Ketua Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan, universiti lebih tahu cara menentukan yuran pengajian bagi memastikan daya maju kursus ditawarkan yang berdasarkan kuasa bukan pasaran, tanpa campur tangan kerajaan.

“Jika mereka menaikkan yuran ke tahap tertentu, tidak akan ada pelajar lagi,” katanya di luar Persidangan Ideas: Pendidikan Tinggi Nasional 2017 anjuran badan pemikir itu bersama Yayasan Sime Darby, hari ini.

Wan Saiful berkata, universiti akan terus bertahan jika yuran pengajiannya ditetapkan pada tahap munasabah.

Beliau berkata, amat penting untuk universiti awam mempunyai autonomi kewangan kerana pegawai kerajaan tidak tahu semua aktiviti yang mahu dijalankan universiti atau keperluan menguruskan dana secara bebas untuk merealisasikan objektif strategik mereka.

Persatuan Universiti Eropah (EUA) mendefinisikan autonomi kewangan universiti sebagai keupayaan membuat keputusan secara bebas mengenai hal ehwal dalaman dan kewangan.

“Bagi membolehkan universiti melakukan perkara yang mereka inginkan, mereka perlu menjana pendapatan sendiri.

“Universiti awam tidak perlu menjana 100% pendapatan mereka.

“Kerajaan boleh terus memberi subsidi, tetapi sekurang-kurangnya biarlah universiti memutuskan berapa banyak yuran pengajian yang sepatutnya mereka kenakan,” kata Wan Saiful.

Semalam, Presiden Persatuan Untuk Belia Baru Universiti Malaya (Umany), Kon Hua En mengkritik tindakan Pusat Pendidikan Berterusan UM (UMCCed) membuat pengambilan terus pelajar untuk program universiti itu.

Beliau bimbang individu yang mempunyai kemampuan kewangan akan memintas proses permohonan biasa untuk memasuki universiti awam dan menyifatkan ia tidak adil.

Beliau mendakwa ia tidak adil bagi mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah kerana tidak berpeluang memasuki universiti jika gagal dalam proses pemilihan Unit Pusat Universiti (UPU) untuk universiti awam.

Kon berkata, sistem pengambilan secara terus itu akan membolehkan pelajar mengikuti kursus kejuruteraan dengan membayar yuran pengajian tanpa subsidi. Yuran untuk program sedemikian tanpa subsidi boleh mencecah RM90,000.

Sehubungan itu, beliau bertanya jika sistem itu wujud disebabkan langkah kerajaan mengurangkan bajet untuk universiti awam, yang memaksa mereka menjana pendapatan melalui yuran pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan tiada kenaikan yuran pengajian untuk program ijazah pertama di universiti awam.

Kali terakhir yuran pengajian universiti awam dinaikkan ialah 3 tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang berlaku ialah sesetengah universiti menubuhkan entiti swasta yang menawarkan kursus tanpa subsidi.

Idris berkata, pelajar yang mengikuti program perubatan di universiti awam hanya perlu membayar RM3,000 – antara terendah di dunia.

“Begitu juga dengan kursus kejuruteraan di mana anda hanya perlu membayar kira-kira 5% daripada jumlah keseluruhan yuran pengajian bernilai lebih RM30,000 di universiti awam.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/23/idris-jusoh-tiada-kenaikan-yuran-ijazah-pertama/