Iran kutuk serangan Manchester, kritik pakatan palsu Barat-Teluk

Bahram-Qasemi-manchester-concertLONDON: Iran mengutuk serangan berani mati di sebuah konsert pop di Manchester, United Kingdom yang meragut 22 nyawa serta mengkritik “pakatan palsu” negara Barat dengan Teluk dari segi kerjasama keselamatan tidak mampu menghapuskan ancaman itu.

“Keganasan hanya boleh dihapuskan dengan mengambil langkah komprehensif dan mengelakkan double standard.

“Pakatan palsu tidak akan menghalang pengembangan keganasan daripada menular di dunia,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Qasemi yang dipetik agensi berita Irna hari ini.

Sekurang-kurangnya 22 maut dengan 59 lagi cedera dalam serangan berani mati di konsert penyanyi Amerika Syarikat (AS), Ariana Grande di Manchester, pagi tadi.

Presiden AS, Donald Trump merasmikan pusat anti keganasan di Arab Saudi sempena lawatannya ke rantau itu, serta mendakwa Iran ialah penyumbang dana utama dan penyokong kumpulan militan di Timur Tengah.

Iran yang menafikan dakwaan itu sebaliknya menuding jari ke arah Arab Saudi sebagai penyumbang sebenar dana untuk militan Islam.

Sementara itu, bekas komander Pengawal Revolusi, Mohsen Rezaei menerusi Twitternya mengulas retorik hangat antara Tehran dan Riyadh dengan berkata: “Letupan pengganas di Manchester ialah hasil tarian pedang Trump dengan ketua pengganas.”

Trump dan pegawai White House menyertai istiadat tarian pedang di Arab Saudi, Sabtu lalu, selepas menandatangani perjanjian jualan senjata bernilai AS$110 bilion dengan Riyadh.

Rezaei ialah setiausaha agung Majlis Kesesuaian, sebuah badan bebas untuk menyelesaikan pertikaian antara kawasan berbeza di negara itu.

Letupan bom konsert Ariana Grande di UK ragut puluhan nyawa