PETALING JAYA: Selepas insiden tampar minggu lalu, pelakon veteran, Sulaiman Yassin dan penerbit filem, Datuk David Teo dilihat duduk bersebelahan pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2016 di Shah Alam, malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya turut menjadikan Teo dan Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Mat Over sebagai teladan untuk rakyat berbilang kaum di negara ini bersatu padu.
“Ni, depan saya ni, nampaknya saudara Mat Over pun hadir dan Mejar David Teoh pun ada, duduk sama-sama lagi, macam ni lah bagus, ini yang saya mahu sebagai PM dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu padu, barulah Malaysia akan berjaya.
“Kita tidak mahu gaduh-gaduh, kita nak semua berbaik-baik, tolong-menolong antara satu sama lain, agar negara kita aman dan makmur,” katanya.
Turut hadir pada majlis malam ini ialah moderator Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), Datuk Rosyam Nor ketika insiden tampar itu berlaku pada malam Rabu lalu.
Mat Over kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan selepas polis menerima 2 laporan, termasuk yang dibuat pihak polis sendiri.
Ia susulan kekecohan pada Dialog TN50 bersama perdana menteri dan penggiat seni di Putrajaya, Rabu lalu, yang berpunca daripada tindakan Teo mempersoalkan Rosyam tidak memberi peluang kepada hadirin di barisan belakang untuk bertanya soalan kepada Najib.
Selepas Rosyam membuka ruang kepada Teo untuk bertanya soalan, Mat Over tiba-tiba muncul dan menampar Teo sambil disaksikan Najib.
Teo dan Mat Over kembali ke pentas di akhir Dialog TN50 untuk memohon maaf kepada Najib.
Mat Over ketika dihubungi FMT berharap kontroversi mengenainya tidak lagi dipanjangkan memandangkan beliau sendiri mendapat teguran daripada wakil perdana menteri supaya “tidak bercakap banyak” mengenai insiden itu.
Dalam pada itu, Najib berkata, apa yang beliau dan kerajaan pimpinannya lakukan adalah untuk demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum, keturunan mahupun bangsa.