Time namakan Najib pemimpin ‘kurang popular’

najib-time

PETALING JAYA: Dahulu, ia merupakan satu kebanggaan jika seseorang pemimpin itu dibandingkan dengan presiden Amerika Syarikat (AS), tetapi kini, ia seolah-olah sesuatu yang memalukan bagi mana-mana pemimpin dunia.

Majalah Time menyenaraikan 5 pemimpin dunia “kurang popular” berbanding Presiden AS, Donald Trump. Ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan bagi mana-mana pemimpin negara.

Malang bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tersenarai dalam “kelab eksklusif” ini bersama Nicolas Maduro (Presiden Venezuela), Jacob Zuma (Presiden Afrika Selatan), Michel Temer (Presiden Brazil) dan Alexis Tsipras (Perdana Menteri Greece).

Persamaan paling ketara antara Najib dan Trump ialah isu undi popular.

Barisan Nasional pimpinan Najib memenangi majoriti kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas untuk terus memerintah negara walaupun hanya memenangi 47% daripada jumlah undi keseluruhan.

Begitu juga dengan Trump yang memenangi pilihan raya presiden AS berdasarkan sistem badan pemilih yang berpihak kepadanya, berbanding calon presiden Demokrat, Hillary Clinton yang meraih 2.9 juta undi lebih banyak daripada Trump pada pengiraan terakhir.

Menurut majalah Time, kedudukan Trump kini di bawah 40%, manakala Najib pula berada di tahap terendah.

Bagaimanapun, tidak perlu bimbang dengan masa depan presiden Umno itu dan parti pemerintahnya, BN, yang yakin mampu meneruskan pemerintahan 60 tahun pada pilihan raya umum akan datang.

Laporan menamakan Najib sebagai seorang daripada 5 pemimpin dunia “kurang popular” daripada Trump kelihatan ironik dengan kedua-dua pemimpin itu baru-baru ini bergambar bersama di Riyadh, Arab Saudi, sempena sidang kemuncak pemimpin negara majoriti Islam dengan Trump, yang berakhir Isnin lalu.

Empat pemimpin lain yang turut berada dalam senarai itu, memimpin negara yang kini berdepan kegawatan ekonomi, di mana Venezuela mengalami kenaikan inflasi mendadak yang menyebabkan rusuhan meragut nyawa di seluruh negara itu.

Negara pengeluar minyak

Rakyat Venezuela mengadakan protes jalanan setiap hari untuk membantah pentadbiran Maduro ketika negara itu mengalami kekurangan makanan dan bekalan perubatan.

Menurut Times, malang bagi Maduro yang mengambil alih pentadbiran sebuah negara di mana pendapatan ekonominya bergantung hampir sepenuhnya kepada eksport minyak sebanyak 95%.

Negara pengeluar minyak lain dalam senarai itu ialah Brazil di mana Temer mengambil alih tampuk pemerintahan bagi menggantikan Dilma Rousseff yang dilucutkan jawatan sebagai presiden oleh Senat Brazil kerana didapati bersalah atas dakwaan memanupulasi bajet negara.

Zuma yang mengambil alih jawatan presiden Afrika Selatan pada 2009, menyaksikan negara itu menghadapi masalah ekonomi dan kejatuhan mata wang negara itu.

Akhir sekali, Tsipras ialah pemimpin Greece yang berdepan masalah ekonomi ketika beliau menjadi perdana menteri.