G7 tekan syarikat internet, media sosial bantu bendung IS

g7sign1

SICILY: Susulan siri serangan pengganas, yang turut dikaitkan dengan kumpulan Negara Islam (IS), negara-negara perindustrian (G7) mengenakan tekanan terhadap penyedia perkhidmatan internet dan media sosial agar meningkatkan usaha membuang kandungan pelampau.

Gesaan itu dibuat 4 hari selepas tindakan pengebom berani mati yang menyebabkan kematian 22 orang di Manchester, England.

Pemimpin negara-negara Barat menuduh syarikat-syarikat internet utama tidak mengambil tindakan secukupnya bagi menghentikan kumpulan-kumpulan seperti IS atau Daesh, yang menggalakkan keganasan menerusi media sosial atau mengambil lebih tanggungjawab ke atas bahan yang disiarkan di laman web mereka.

Selepas serangan minggu ini di bandar utara England, Manchester, negara G7 – Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat – mengeluarkan kenyataan akhir yang tegas bagi memerangi keganasan, mengecam peranan syarikat-syarikat seperti Google , Apple, Facebook dan Amazon, kadang-kadang dirujuk secara amnya di Eropah menggunakan singkatan Gafa itu.

“Kami akan memerangi penyalahgunaan internet oleh pengganas. Walaupun menjadi salah satu pencapaian teknologi yang paling penting dalam dekad lalu, internet telah digunakan sebagai alat yang berkuasa untuk tujuan keganasan,” kata kenyataan bersama itu.

Kata kenyataan itu, G7 mahu Penyedia Perkhidmatan Komunikasi dan syarikat-syarikat media sosial agar meningkatkan dengan ketara usaha mereka untuk menangani kandungan pengganas.

Letupan bom di lokasi sebuah konsert di Manchester Isnin lalu (awal pagi waktu Malaysia) telah menyebabkan lebih 20 orang maut. Konsert itu dikendalikan oleh bintang remaja Amerika Syarikat, Ariana Grande.

Militan Daesh mendakwa bertanggungjawab atas kejadian itu.

Kumpulan itu menyatakan ‘salah seorang tentera khalifah meletakkan bom dalam kalangan orang awam’, dan mengancam lebih banyak serangan.

Insiden serangan bom turut disaksikan di Indonesia dan beberapa lokasi di Thailand selepas itu.

Reuters memetik diplomat melaporkan, Perdana Menteri Britain, Theresa May dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang ketika kempen pemilihannya baru-baru ini membuat gesaan bagi tindakan lebih tegas terhadap syarikat internet, menggesa penggunaan bahasa yang lebih keras dalam isu tersebut.

“Secara khususnya, saya mahu melihat mereka melaporkan kandungan ini keji kepada pihak berkuasa dan menghalang pengguna-pengguna yang menyebarkannya,” kata May kepada pemberita.

Namu, kenyataan itu tidak menyebut langkah-langkah yang harus diambil ek atas syarikat-syarikat yang gagal memenuhi keperluan yang diperlukan.

“Gafa dan industri perlu bertindak dengan cepat untuk mengesan dan memusnahkan kandungan yang membawa kepada keganasan, kebencian dan radikal,” kata seorang diplomat kanan Perancis.

“Kami masih dalam rangka undang-undang sedia ada, tetapi tidak pernah ada tekanan yang tinggi seperti ini daripada negara-negara G7 ke atas syarikat-syarikat ini untuk memastikan bahawa kandungan ini dihebahkan dan dimusnahkan. Kami meningkatkan tekanan itu,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/23/letupan-bom-konsert-ariana-grande-di-uk-ragut-puluhan-nyawa/