Johari: Jangan sampai Proton jadi macam Perwaja

johari-perwaja-proton-bwPETALING JAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mempertahankan kerjasama strategik Proton-Geely sambil menegaskan, kerajaan tidak mahu syarikat kereta nasional itu berhadapan dengan nasib yang dialami Perwaja Steel (Perwaja) sebelum ini.

Kata beliau, kerajaan cuba membangunkan industri besi dan keluli menerusi Perwaja tetapi akhirnya syarikat itu ditutup disebabkan masalah pengurusan pada tahun 1990-an.

“Banyak kerajaan tolong tetapi akhirnya Perwaja ditutup. Ramai pekerja Perwaja kena berhenti dan kilang sudah tidak beroperasi.

“Takkan kita hendak buat Proton begitu. Saya hendak tekankan kita tidak mahu nasib akan jadi macam Perwaja,” kata beliau.

Johari menambah, beliau faham yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sangat kecewa dengan kerjasama Proton dengan syarikat dari China itu, tetapi apa yang penting Geely adalah rakan strategik yang diharap boleh memajukan Proton.

Malah soal beliau, “pasal apa mereka tidak boleh bangga dengan Proton?”

“Bagi saya semua pihak kena sokong kerjasama ini kerana Geely telah menyelamatkan Proton daripada menjadi seperti Perwaja.

“Kalau Proton sudah jadi Perwaja dan berlaku kehilangan pekerjaan, kita lagi susah,” kata beliau dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia disiarkan hari ini.

Rabu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton kepada pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus.

Dr Mahathir sebelum ini berkata, langkah menjual kepentingan kepada syarikat kereta China menandakan kehilangan ikon negara.

“Kita harus tanya, apa lagi nak dijual?” soal beliau.

“Kita sudah jual Proton kepada orang asing. Ini kereta nasional, dijual kepada orang asing dan tidak lagi ia menjadi kereta nasional, ia kini kereta asing.

“Kita kehilangan satu daripada ikon negara kita,” kata Dr Mahathir.

Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara dihimpit masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.

Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi ia merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta Proton.

Dr Mahathir bagaimanapun mempertahankan kualiti kereta Proton.

Dalam wawancara itu, Johari dipetik berkata, jika syarikat Malaysia memiliki 50.1% saham dalam Proton dan akhirnya berjaya di peringkat antarabansga, “apa salahnya?”

Johari seterusnya berkata, “kalau Daihatsu boleh bekerjasama dengan Perodua, kenapa Proton tidak boleh sedangkan syarikat Malaysia memiliki 50.1% saham.”

“Ini adalah amalan biasa dalam perniagaan,” kata beliau yang merujuk kepada 1 lagi syarikat pengeluar kereta nasional.

Johari juga memberi jaminan nama Proton akan dikekalkan di bawah perjanjian bersama Geely.

“Itu adalah antara yang dipersetujui dalam perjanjian. Lagipun DRB-Hicom ada majoriti saham dan ada kuasa untuk menentukan,” katanya.

Mustapa yakin Geely mampu pacu prestasi Proton

‘Kuasa’ Geely-Proton gugat Perodua?

Apa lagi nak dijual, soal Dr Mahathir selepas Geely ambil Proton