Mufti: Bantuan fakir miskin, tangkap ponteng puasa diatur dari awal

Datuk-Mohd-Tamyes-Abd-Wahid

PETALING JAYA: Mufti Selangor hari ini berkata sumber untuk membantu fakir miskin dan menangkap orang ponteng puasa sudah diatur dan disediakan dari awal.

Menjawab saranan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin semalam, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata bajet untuk bantuan fakir miskin sudah disediakan bagi bulan Ramadan, dan lembaga zakat sudah mengenal pasti penerimanya.

Malah lembaga zakat turut mengenal pasti siapa dalam kalangan fakir miskin dan asnaf lain yang akan mendapat bantuan bulanan atau bantuan tertentu yang lain.

“Sumber daripada jabatan agama telah disusun atau mengikut sasaran kerja tahunan yang telah diatur daripada awal tahun atau daripada tahun lepas lagi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Semalam, Khairy di Twitter menyarankan sumber yang jabatan agama yang digunakan untuk menangkap golongan “ponteng puasa” digunakan untuk membantu asnaf yang memerlukan bantuan.

Setakat berita ini ditulis, pesanan itu mendapat lebih 2,400 “retweet” dan lebih 1,400 “like”

Tamyes menjelaskan jabatan agama bertindak mengikut undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

“Sama ada melalui enakmen yang telah ditentukan atau enakmen tertentu yang dipastikan kena laksanakan. Ini memang telah dirancang.

“Maknanya setiap pegawai ataupun bahagian itu telah merancang, termasuklah menangkap orang yang tidak berpuasa,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas mengenai muka hadapan The Star semalam, Tamyes menyifatkan ia itu tidak sepatutnya berlaku dan kementerian dalam negeri (KDN) perlu bertindak tegas.

The Star semalam membuat permohonan maaf di muka depan akhbar itu dan berkata muka depan yang memaparkan tajuk berita mengenai keganasan, diikuti dengan gambar orang bersolat terawih adalah kerana “kesilapan” di pihaknya.

“Pada saya lesen The Star kena tarik balik. Menghina umat Islam. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun terasa benda begitu. Bukan saya seorang sahaja terasa,” katanya.

Pagi tadi, 4 wakil akhbar The Star hadir di KDN bagi memberi penjelasan berhubung laporan muka depan akhbar itu pada Sabtu lepas.

Petang tadi KDN memberi tempoh 7 hari kepada The Star untuk menjawab surat tunjuk sebab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 termasuk digantung permit penerbitan.

Guna sumber tangkap mereka ponteng puasa bantu asnaf, kata Khairy