Peguam tertuduh kes pembunuhan Jon Nam bidas pihak berkuasa

Gooi-Soon-Seng

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mewakili salah seorang wanita yang didakwa membunuh Kim Jong Nam hari ini menuduh pihak berkuasa Malaysia “tidak beretika” kerana gagal berkongsi dokumen penting dengan pihak pembelaan.

Warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa membunuh Jon Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada Februari.

Polis menuduh mereka mengenakan agen VX terlarang pada muka Kim Jong Nam semasa beliau mahu menaiki penerbangan ke Macau, tempat beliau menetap dalam buangan.

Korea Selatan menuduh Korea Utara mendalangi pembunuhan itu, dakwaan yang dinafikannya.

Kedua wanita itu, yang berdepan hukuman mati jika disabit kesalahan, dijadualkan tampil di mahkamah rendah esok sebagai sebahagian daripada prosiding pra-perbicaraan.

Mereka menafikan pertuduhan itu, dan berkata mereka diperdaya untuk mempercayai mereka mengambil bahagian dalam aksi sebuah rancangan TV realiti.

Gooi Soon Seng, peguam Siti Aisyah, berkata polis dan pendakwaraya negeri belum memberikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lapangan terbang dan laporan bedah siasat Jong Nam kepada pihak pembelaan.

“Sudah tentu ini sangat mengecewakan. Saya menghantar begitu banyak permintaan dan peringatan tetapi tiada satu pun jawapan diterima. Ia sangat tidak beretika dan tidak menyenangkan,” katanya kepada AFP.

Rakaman CCTV dan laporan bedah siasat sangat penting dalam menyediakan pembelaan, kata Gooi.

Gooi khuatir pendakwaraya akan melakukan kejutan.

“Hak perbicaraan yang adil mengandaikan bahan dokumen dibekalkan seawal yang boleh semasa dalam tempoh pra-perbicaraan, dan bukan pada saat-saat akhir sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Muhammad Iskandar Ahmad meminta pihak pembelaan supaya bersabar.

“Sila bersabar. Kita wajib memberikan dokumen kepada mereka sebelum perbicaraan. Beginilah cara ia dilakukan dalam semua kes lain,” katanya kepada AFP.

“Ini hanya satu lagi kes dan kita menggunakan kaedah yang sama.”

Beliau berkata pendakwa raya esok dijangka meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan di kemudian hari.

Polis masih cuba mengesan 4 warga Korea Utara yang disyaki mengambil bahagian dalam plot pembunuhan itu, dipercayai sudah pulang ke Pyongyang sejurus selepas kejadian.

Tiga warga Korea Utara lain yang digambarkan sebagai “orang yang dikehendaki”, termasuk seorang diplomat yang berpangkalan di Malaysia, dibenarkan pulang bagi membebaskan rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang.

Pembunuhan itu mencetuskan perbalahan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara yang menyaksikan kedua-dua negara melarang warga negara masing-masing meninggalkan Malaysia dan Korea Utara dan mengundurkan duta masing-masing.

Larangan dibatalkan pada penghujung Mac selepas suatu perjanjian tercapai melibatkan pemulangan mayat Jong Nam ke Korea Utara.