Pengundi tak hirau polisi baik kerana masih tumpu isu kaum, agama

wan-saiful

PETALING JAYA: Pengundi di Malaysia mungkin tidak akan menghiraukan polisi baik yang diketengahkan pembangkang disebabkan mereka masih tertumpu kepada isu kaum dan agama, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

“Kita sebagai masyarakat sudah terbiasa tertumpu kepada isu seperti kaum dan agama. Walaupun sebuah parti mengemukakan dasar yang baik, saya bimbang sebahagian besar masyarakat tidak akan terpengaruh kerana mereka lebih memberi reaksi kepada isu berasaskan kaum,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan.

Beliau mengulas saranan Parti Sosialis Malaysia (PSM) supaya calon parti pembangkang tidak hanya mengetengahkan isu kontroversi seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kempen pilihan raya mereka.

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan dalam wawancara dengan Malay Mail Online berkata pengundi juga harus mendesak calon pembangkang mengetengahkan pendirian dan dasar mereka mengenai isu masyarakat seperti penswastaan rawatan hospital, kesihatan, pembinaan lebuh raya melalui kawasan hutan, alam sekitar dan hak tanah.

Wan Saiful menyambut baik saranan PSM dan bersetuju parti pembangkang perlu merangka dasar dengan segera supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk menjelaskannya kepada orang ramai.

“Orang ramai juga perlu menuntut BN dan PH menggariskan dasar mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Strategi dan Dasar PPBM Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff tidak bersetuju Pakatan Harapan hanya tertumpu kepada isu kontroversi.

Menurut Rais, PH juga membawa isu masyarakat seperti kesihatan, pendidikan, perumahan, keselamatan dan paling penting, isu kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kita sudah ada manifesto yang akan ditawarkan kepada rakyat dan akan dikemukakan kepada rakyat ikut berperingkat. Kita tidak fokus kepada 1MDB sahaja dan ada isu lebih besar kita tumpukan misalnya salah laku dalam Felda,” katanya.