20,000 mati akibat rokok setiap tahun, kata CAP

Mohideen-rokokGEORGE TOWN: Dianggarkan kira-kira 20,000 rakyat negara ini mati akibat penyakit berkaitan rokok setiap tahun dan keadaan itu membimbangkan berikutan bilangan perokok dijangka semakin meningkat, kata Naib Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader.

Beliau berkata tembakau terus menjadi penyebab utama dunia yang menyumbang kepada kematian tahunan.

“Jika semua orang menghisap sekotak 20 batang setiap hari, rakyat Malaysia menghisap 4.6 juta batang rokok sehari dan bayangkan kesannya ke atas ekonomi keluarga dan negara,” katanya pada sidang media bersempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia hari ini.

Mohideen berkata purata perbelanjaan rokok bagi setiap perokok dianggarkan RM178.8 sebulan dan jumlah itu memberikan impak besar kepada perbelanjaan isi rumah.

Beliau berkata penggunaan rokok elektronik atau vape juga patut dihentikan dan kerajaan perlu tegas mengharamkan vape.

“Walaupun ada hujah mengatakan rokok elektronik membantu perokok berhenti merokok, ia juga menggalakkan perokok menggunakan peranti ini dengan kepercayaan ia kurang berbahaya,” katanya.