Guan Eng ajar media mengenai biaya pelan pengangkutan

limguanengtalkpenangGEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberikan kelas penerangan kepada media hari ini, menjelaskan pinjaman penyambung yang kerajaan negeri mahu mohon dari China untuk memulakan projek prasarana pengangkutan RM27 bilion.

Lim, yang juga seorang akauntan profesional, memberikan pembentangan ringkas menjelaskan kemudahan tersebut dan perkara teknikal berkaitan kewangan sekitar Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PIP).

Pelan tersebut melibatkan pembinaan jalan raya, transit aliran ringan dan mod pengangkutan lain di negeri itu.

Lim berkata PIP bernilai RM27 bilion itu akan dibiayai melalui tebus guna 3 pulau di selatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun tebus guna 3 pulau itu mengambil masa kira-kira 2 tahun dan kerana itu wang diperlukan untuk memulakan projek dalam rangka masa 2 tahun tersebut.

“Penjualan tanah tebus guna itu hanya boleh dilakukan selepas tahun kedua. Dalam tempoh masa 2 tahun itu, kos yang ditanggung akan dibiayai melalui dana penyambung RM2.3 bilion,” kata Lim kepada pemberita.

Lim berkata daripada dana permulaan RM2.3 bilion yang diperlukan itu, tanggungjawab kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion manakala rakan pelaksana projek PIP sebanyak RM1.3 bilion.

Beliau berkata RM1 bilion dari kerajaan negeri itu dalam bentuk pinjaman dari China, sementara RM1.3 bilion dari rakan pelaksana projek dalam bentuk pinjaman dari sebuah bank tempatan.

Kerajaan negeri baru-baru ini meluluskan undang-undang yang membolehkan pinjaman dari China, dengan tempoh bayaran semula tidak melebihi 5 tahun seperti yang ditetapkan kerajaan persekutuan.

Pinjaman asing Pulau Pinang juga tertakluk kepada persetujuan perdana menteri, seperti yang ditanyakan dalam Perlembagaan Persekutuan.