Kes muka depan The Star, persatuan gesa tubuh majlis media

star-wanifra

PETALING JAYA: Berikutan kegemparan berita muka depan akhbar The Star baru-baru ini yang memaparkan gambar umat Islam bersolat tarawih dengan tajuk mengenai keganasan, sebuah persatuan media menggesa pembentukan majlis media untuk membolehkan kawal selia lebih besar dalam industri berita.

Jawatankuasa Kebebasan Media Malaysia Persatuan Berita Penerbitan dan Surat Khabar Dunia (WAN-Ifra) berkata majlis itu boleh merumuskan garis panduan mengenai laporan beretika dan bertindak sebagai organisasi menangani aduan awam terhadap media.

Ini akan menghalang tindakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan terhadap wartawan dan syarikat penerbitan dan memastikan kewartawanan berkualiti tinggi yang rakyat berhak terima, katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis media yang dicadangkan itu terdiri daripada wakil media cetak, atas talian dan penyiaran.

“Pembentukan majlis media, garis panduan industri dan organisasi menangani aduan akan meningkatkan standard bidang kewartawanan.

“Selain itu, ia akan mendidik rakyat Malaysia mengenai peranan media serta cara merawat pelanggaran etika dalam masyarakat maju dan demokratik tanpa menggunakan hukuman kerajaan,” katanya.

The Star mencetuskan kemarahan Sabtu lepas selepas menyiarkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih namun tajuk muka depannya tertulis “Malaysian terrorist leader”.

Akhbar itu membuat permohonan maaf pada hari berikutnya dan 4 editor kanan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas dipanggil untuk memberi penjelasan

Bagaimanapun, ramai menegaskan tindakan tegas diambil terhadap akhbar itu yang dilaporkan pernah membuat kesilapan sama dulu.

Kumpulan seperti PAS dan Perkasa menolak permohonan maaf The Star, dan Perkasa menyeru KDN menggantung lesen akhbar itu selama setahun.

Sementara itu, Adun Kempas Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat menuntut pemilik The Star merombak pasukan editorial agar hal berkaitan Islam diuruskan dengan lebih baik.

Semalam, KDN mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar itu dan memberi tempoh 7 hari untuk menjelaskan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadapnya di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kementerian itu berkata kemungkinan permit penerbitannya akan digantung.

Jawatankuasa Kebebasan Media WAN-Ifra berkata tindakan itu menekankan keperluan mendesak untuk memansuhkan akta itu.

Ia menambah The Star bertindak betul dengan menangani kebimbangan pembacanya dengan segera.

“Ia mengambil langkah betul dan tidak perlu dikecam lagi.

“Kami bimbang tekanan akan mendorong KDN bertindak tidak adil terhadap akhbar itu mengambil langkah proaktif membetulkan kesilapannya.”

Menggantung lesen penerbitan The Star juga akan menjejaskan mata pencarian ratusan kakitangan termasuk kakitangan sokongan yang tidak tidak bersalah, katanya.