Suhakam mahu SOP banduan transgender diwujudkan

Suhakam-prison

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu tatacara operasi standard untuk banduan transgender bagi memastikan keselamatan mereka, serta dilayan secara adil dan mengikut undang-undang.

Dalam tinjuan seluruh negara dan laporan tentang hak kesihatan dalam penjara 2017, Suhakam mendapati meletakkan banduan transgender bersama lelaki kerana status jantina mereka di sisi undang-undang boleh membawa kepada mereka didera secara seksual atau dirogol.

“Suruhanjaya mendapati tidak ada dasar standard mengenai penempatan orang transgender di penjara,” katanya.

“Pada masa ini, keputusan sama ada menghantar seorang banduan ke penjara lelaki atau wanita bergantung kepada jantina mereka di sisi undang-undang, yang ditentukan melalui sijil kelahiran atau kad pengenalan.”

Suhakam menambah kadang-kadang pihak berkuasa penjara menggunakan budi bicara dalam perkara ini, memandangkan sifat isu ini yang kompleks dan sensitif.

Pendapat pegawai perubatan juga diambil bagi mementukan penempatan banduan transgender.

Suruhanjaya berkata pihak berkuasa penajra perlu menghasilkan rangka kerja dasar menggariskan bagaimana untuk menjamin keselamatan dan kehormatan banduan seperti itu dalam penjara.

Ia mengesyorkan rangka kerja tersebut mengambil input daripada ahli psikologi, profesional penjagaan kesihatan dan kakitangan penjara.

Menurut laporan itu, walaupun jumlah banduan transgender di Malaysia rendah, mereka berisiko tinggi diserang atau mencederakan diri sendiri.

Suhakam mengesyurkan jabatan penjara mempertimbangkan latihan untuk kakitangan terpilih bagi memastikan keselamatan dan perlindungan banduan transgender, serta menangani keperluan khas mereka dalam penjara.