Suspek bunuh Jong Nam pesan ibu bapanya jangan risau

Siti-Aisyah_ibu_law_6002SEPANG: “Jangan risau. Doakan saya. Kes ini akan berakhir tidak lama lagi dan saya boleh pulang ke rumah.”

Itu adalah mesej Siti Aisyah kepada ibu bapanya di Indonesia. Warga Indonesia itu salah seorang wanita yang didakwa membunuh Kim Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Dalam surat yang ditulisnya dan dibacakan pegawai Kedutaan Indonesia di luar Mahkamah Majistret Sepang, wanita berusia 25 tahun itu juga memaklumkan dirinya sihat dan ramai orang membantunya.

Siti Aisyah berkata ibu bapanya – yang bekerja sebagai petani di kampung mereka di Serang kira-kira 100km di barat Jakarta – tidak perlu datang ke Malaysia untuk berjumpa dengannya. Beliau berkata tidak perlu “terlalu banyak berfikir tentangnya”.

“Kirim salam saya kepada Rio” katanya, merujuk kepada anak lelakinya.

Siti bersama-sama warga Vietnam Doan Thi Huong didakwa membunuh Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) 13 Februari lalu.

Mereka muncul di Mahkamah Majistret Sepang hari ini untuk sebutan semula kes, di mana kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il, tiba di Malaysia 6 Februari dan dijadualkan menaiki penerbangan jam 9.00 pagi ke Macau pada Isnin.

Semasa di klia2, beliau didatangi seorang wanita yang menyemburnya dengan sejenis cecair, manakala seorang lagi wanita menyerkup kain ke mukanya.

Jong Nam meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya, mencetuskan perbalahan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.

Siti dan Doan muncul di mahkamah hari ini seakan bersemangat.

Sementara itu, Reuters melaporkan mereka sekali lagi memakai jaket kalis peluru semasa tiba di mahkamah dengan kawalan ketat polis.